Friday, August 30, 2013

Injil Yang Benar?

Mereka berkata: Nabi Muhammad diwahyukan dalam Injil Barnabas sesuai dengan apa yang tertulis dalam Surah 7:157 yang bermaksud '...orang-orang yang mengikuti rasul, nabi yang ummin yang mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil di sisi mereka.’

Jawap saya: Bukti menunjukkan bahawa Injil Barnabas mungkin sekali ditulis oleh seorang yang hidup pada kurun kelima belas di Eropah yang memberi gambaran tidak tepat tentang kehidupan Yesus.

Kepercayaan tentang Yesus berbeza sekali antara orang Kristian dan Islam kerana sumber maklumat mereka berbeza. Orang Islam sering kali menerima ajaran tentang Yesus dari Injil Barnabas manakala orang Kristian berdasarkan fahaman mereka tentang Yesus atas Injil-Injil yang terkandung dalam Alkitab. Oleh sebab Yesus dalam Injil Barnabas berbeza dengan Yesus dalam Injil-Injil Alkitab, pastinya satu salah.

Injil Barnabas tidak ditulis oleh Barnabas yang disebut dalam Alkitab. Barnabas dalam Alkitab ialah seorang dermawan dan pemberi galak gereja awal (KPR 4:36-37) dan bukan satu daripada 12 para  rasul asal Yesus seperti yang dituntut oleh penulis Injil Barnabas. Barnabas dalam Alkitab telah meyakinkan para rasul di Yerusalem bahawa Paulus yang dahulunya menganiaya gereja telah bertaubat dan menjadi pengikut Yesus (KPR 9:27). Barnabas ini ialah seorang misionari, menyebar khabar baik tentang Yesus (KPR 13:2).

Injil Barnabas telah ditulis pada Zaman Pertengahan – kalau ia ditulis pada kurun pertama, ia besar kemungkinan akan disebut atau dijadikan rujukan oleh penulis-penulis lain yang sezaman. Walaupun begitu, Injil ini tidak disebut baik oleh penulis Islam mahupun Kristian sehinggalah pada kurun lima belas. Mereka yang berkata Injil ini ditulis pada kurun pertama mungkin merujuk kepada satu buah buku lain – Surat Barnabas (TM70-90), sebuah buku kurun pertama yang tidak diiktiraf diilhamkan oleh Allah.

Sesiapa yang membaca Injil ini akan sedar bahawa ia tidak ditulis pada masa Yesus atau sejurus setelah itu, seperti yang didakwa penyokong Injil ini. Ia mengandungi terlalu banyak kesilapan sejarah. Injil ini merujuk kepada kata-kata Dante Alighieri, kenyataan yang dibuat oleh Paus Boniface dan satu penjelasan tentang feudalisme. Daripada petanda-petanda ini para cendekiawan meletakkan tarikh penulisan buku ini pada kurun kelima belas.

Injil Barnabas mengandungi banyak kesilapan. Contohnya, penerangan tentang tanah Palestin menunjukkan penulis Injil ini tidak tahu keadaan tempat itu sehingga ada ayat yang berkata Yesus berlayar ke Nazaret, sebuah bandar yang tidak dikelilingi apa-apa bentuk badan air!

Injil ini juga berkata Yesus dilahirkan ketika pemerintahan Pontius Pilatus tetapi sejarah menunjukkan bahawa Pontius Pilatus menjadi gabenor pada TM26 atau 27 – lama sesudah Yesus dilahirkan. Para cendekiawan yang boleh dipercayai telah mendedahkan Injil ini sebagai satu pemalsuan dan tidak boleh dipakai sebagai sumber maklumat boleh percaya tentang Yesus.

Injil Barnabas tidak pernah mendapat sokongan rasuli dan mungkin sekali ditulis 1400 tahun sesudah Barnabas dalam Kisah Para Rasul hidup; ia tidak pernah disebut sehingga kurun keenam belas! Sebaliknya buku-buku dalam Perjanjian Baru semuanya ditulis sebelum TM100 oleh mereka yang telah melihat dan mendengar Yesus atau oleh mereka yang telah menemu bual saksi mata-saksi mata ini (1 Yohanes 1:1-5; Lukas 1:1-4). Kesahihan keempat-empat Injil dalam Perjanjian Baru tidak pernah disoalkan atau diragui.

Dan jika Injil Barnabas ini ditulis pada zaman para rasul, ia masih lagi tidak akan diberi status buku yang diilhamkan Allah kerana banyaknya kesilapan sejarah dan akidah dalamnya. Contohnya, Injil Barnabas menyatakan bahawa Yesus tidak berkata bahawa Dia adalah Mesias (Al-Masih) walaupun dalam Matius 26:63-64 hal ini ada dinyatakan.

Injil ini disukai oleh orang Islam kerana ajarannya tentang Yesus konsisten dengan ajaran dalam Al-Quran. Injil Barnabas berkata Yesus tidak mati di atas kayu salib seperti mana tertulis dalam Surah 4:157. Kerana keempat-empat Injil tidak mengandungi apa-apa ayat yang secara langsung dan jelas merujuk kepada nabi Islam (walaupun dikatakan ada dalam Surah 7:157), tidak hairanlah bila Injil Barnabas dijumpai dan isi kandungannya menyokong pandangan agama Islam, Injil ini diterima dan dipakai sebagai rujukan benar. Mereka yang menolak ajaran Alkitabiah tentang Yesus menerima dengan hati terbuka dan mengangkat Injil Barnabas sebagai khabar baik tentang Yesus yang benar dan boleh-pakai.

Wednesday, August 28, 2013

Tuhan Boleh Dahaga?

Mereka berkata: Adakah Tuhan boleh dahaga, lapar dan tidak tahu bila hari kiamat?

Jawap saya: Saya yakin soalan ini sebenarnya merujuk kepada Yesus (yang orang Kristian tegaskan adalah Tuhan) dan beberapa sifat-Nya yang membuktikan bahawa Dia sepenuhnya manusia – dahaga (Yohanes 19:28), lapar (Matius 4:2) dan tidak tahu hari dan waktu kiamat (Matius 24:36). Orang Kristian bukan hanya tidak menafikannya bahkan bersyukur kerana Yesus adalah seorang manusia tulen. Mengapa?

Orang Kristian percaya bahawa Yesus adalah Allah yang telah menjadi sepenuhnya manusia dan diam bersama dengan ciptaan-Nya untuk seketika supaya Dia boleh mengalami maut, maut di atas salib, untuk menebus manusia, memeterai perjanjian baru antara manusia dan Allah dan menyediakan jalan pengampunan kepada sesiapa sahaja yang percaya kepada-Nya! Ini semua tidak mungkin jika Yesus BUKAN manusia.

Kesatuan hipostatik ialah terma yang pakai untuk menerangkan bagaimana Yesus, mengenakan sifat manusia, tetapi tetap sepenuhnya Tuhan pada masa yang sama. Tidak ada waktu Yesus BUKAN Tuhan (Yohanes 8:58, 10:30), tetapi sewaktu inkarnasi-Nya (terma yang dipakai untuk menerangkan mukjizat Yesus menjadi manusia) Dia menjadi manusia. Kesatuan sifat manusia dan ilahi ini ialah apa yang dipanggil kesatuan hipostatik, Yesus Kristus, satu Peribadi, sepenuhnya Tuhan dan sepenuhnya manusia.

Dua sifat Yesus ini tidak boleh dipisahkan. Yesus akan selama-lamanya bersifat manusia-Ilahi, dua sifat berbeza dalam satu Peribadi. Kedua-dua sifat ini tidak bercampur tetapi bersatu tanpa mengalami kehilangan identiti dan keunikan setiap sifat. Ada masanya Yesus berfungsi dalam kapasiti manusia yang terhad (Yohanes 4:6, 19:28) dan ada masanya dalam kapasiti sebagai Ilahi yang berkuasa (Yohanes 11:43; Matius 14:18-21). Dalam kedua-dua situasi tindakan Yesus berasal dari satu Peribadi, iaitu Yesus.

Doktrin kesatuan hipostatik adalah satu usaha menerangkan bagaimana Yesus boleh pada masa yang sama manusia dan Tuhan. Walaupun usaha ini tidak sempurna dan kefahaman lengkap tidak dapat dialami ramai, kebenarannya ialah bahawa Yesus ialah manusia yang dikandungi dalam Maria kerana aktiviti Roh Allah (Lukas 1:35) tetapi Dia (Yesus) sudah wujud sebelum itu (Yohanes 8:58, 10:30). Apabila Maria mengandung, Yesus menjadi manusia dan juga Allah (Yohanes 1:1,14).

Yesus adalah manusia dan Tuhan. Dia menjadi manusia untuk mengalami dan bersama kita dalam kesusahan yang kita alami (Ibrani 2:17) dan lebih penting lagi, supaya Dia boleh membayar upah dosa di atas salib (Filipi 2:5-11).

Ya, Tuhan pernah lapar, dahaga dan tidak tahu masa depan sesuatu kerana ada seketika dalam sejarah manusia, Tuhan menjadi manusia dan mengalami semua yang manusia alami. Sudah anda kenal Dia?

Friday, August 23, 2013

Ikan Atau Salib

Mereka berkata:  Ikan atau salib? Salib wujud sebelum masihi dalam Kerajaan Roma, Salib wujud sebelum Yesus lahir. Maharaja Konstantin menyembah salib.  Maka orang Kristian telah mengubah ajarannya dan ditambah kekafiran Roma.

Jawap saya: Orang Kristian awal menggunakan pelbagai simbol untuk menyatakan iman mereka. Guru Kristian kurun kedua Clement dari Alexandria mengenal pasti burung merpati, ikan, kapal dan sauh kapal sebagai simbol-simbol boleh-terima untuk cincin-meterai orang Kristian dan pakar kaji purba telah menjumpai cincin-cincin seperti ini dari kurun ketiga dan keempat.

Satu daripada simbol paling awal yang terkenal ialah ikan. Ada orang Kristian awal menggunakan perkataan Yunani untuk ikan, ichthus, sebagai singkatan untuk frasa “Yesus Kristus, Anak Allah, Penyelamat” (dalam bahasa Yunani huruf pertama untuk setiap perkataan dalam frasa ini mengeja ichtus). Tertullian, seorang ahli sejarah pada permulaan kurun ketiga ada menyebut tentang penggunaan simbol ini dalam pembaptisan.

Tulisan-tulisan gereja awal menunjukkan betapa pentingnya salib dalam khutbah dan pengakuan umat Kristian. Justin Martyr, seorang apologis yang menulis pada TM150-160 menyatakan bahawa Allah telah meletakkan simbol salib dalam objek-objek harian – tiang utama kapal, kapak dan alat membajak dan panji-panji askar-askar Rom. Orang Kristian sering berdiri berdoa, dengan tangan mereka terbuka, membentuk tanda salib. Pada awal TM200 orang Kristian sudah mula membuat tanda salib dengan tangan mereka.

Orang Kristian awal juga telah mengambil dua singkatan yang ada dalam tulisan Yunani bukan Kristian zaman itu dan memberi maksud baru kepadanya. Pertama, ialah huruf tau (bentuk seperti huruf T atau tanda campur) dan huruf rho (bentuk seperti P) yang menjadi singkatan tau-rho untuk ejaan bagi salib (stauros) dan menyalib (stauroo). Kerana tau berbentuk seperti salib dan rho bila digabungkan melambangkan Yesus yang disalib, tau-rho menjadi satu daripada simbol paling awal untuk mewakili penyaliban Yesus.

Singkatan kedua, chi-rho, terdiri daripada huruf Yunani chi (bentuk X) yang dipakai sebagai singkatan untuk Kristus. Pada TM312, seorang penulis Kristian awal bernama Lactantius berkata Maharaja Konstantin meletakkan simbol chi-rho pada panji-panji askar yang menakluki Rom. Setelah kemenangannya, chi-ro menjadi simbol yang terkenal di mana-mana oleh orang Kristian.

Orang Kristian hanya mula melukis gambar-gambar penyaliban Yesus yang eksplisit lebih kurang 400 tahun setelah kebangkitan Yesus. Ini adalah kerana gereja awal tidak hanya menekankan penyaliban Yesus tetapi juga kebangkitan-Nya. Satu lagi sebab mengapa simbol salib akhirnya menjadi simbol popular orang Kristian ialah pengaruh Konstantin yang akhirnya menjadikan chi-rho simbol yang diterima ramai. Akhirnya, salib yang menjadi simbol yang melambang iman Kristian.

Wednesday, August 14, 2013

Poligami Atau Monogami?

Mereka berkata: Poligami dilarang? Kenapa Abraham , Raja Daud , Raja Salomo memiliki 2 hingga beratus-ratus isteri jika ia dilarang? Tidakkah Kejadian 25:1, kes poligami yang pertama?

Jawap saya: Poligami ialah satu sistem perkahwinan yang telah diamalkan dengan berleluasa oleh pelbagai masyarakat pada zaman Perjanjian Lama termasuklah oleh orang Israel sendiri. Ini adalah kerana beberapa sebab:
  • ·         Secara amnya selalu ada lebih ramai perempuan daripada lelaki, baik dahulu mahupun sekarang
  • ·         Peperangan zaman dahulu sungguh ganas dan kejam dengan kadar kematian yang tinggi sehingga jumlah lelaki selalunya kurang
  • ·         Dalam dunia masa itu di mana lelaki berkuasa dan diutamakan, adalah hampir mustahil untuk seorang perempuan yang tidak berkahwin untuk menyara hidup - dia tidak terpelajar dan terlatih dan bergantung pada lelaki untuk perbekalan dan perlindungan. Perbezaan besar antara jumlah lelaki dan perempuan menyebabkan ramai perempuan dalam keadaan yang tidak diingini.

Jadi, nampaknya dalam masyarakat zaman dahulu (termasuk masyarakat Israel) poligami diamalkan sebagai cara menyediakan perlindungan dan perbekalan kepada wanita; pilihan sebaliknya ialah pelacuran, perhambaan atau kebuluran (perhatikan 1 Samuel 1:2, 1 Samuel 25). 

Berpoligami juga dianggap sebagai satu cara untuk menambah jumlah manusia di dunia ini dengan cepat (Kejadian 9:7).

Bagi raja-raja Israel pula, berpoligami adalah satu cara untuk mengikat perjanjian dan mempererat perhubungan dengan negara-negara lain yang diwakili oleh isteri-isteri raja Israel itu. Secara ringkas, poligami adalah satu cara praktikal dan berguna untuk mengatasi banyak masalah.

Ramai cendekiawan Kristian berpendapat kebisuan Allah tentang amalan ini dalam Perjanjian Lama (di mana tidak dikatakan secara spesifik sama ada Allah membenarkan atau melarang poligami) adalah kerana amalan ini adalah amalan biasa manusia masa itu dan merupakan jawapan manusia kepada keadaan mereka sehingga sebati dengan budaya dan amalan harian banyak kaum Timur Tengah. Pilihan manusia yang baik dihormati Allah walaupun rencana Allah yang terbaik adalah monogami dan walaupun manusia tidak memilih cara Tuhan, Dia tidak melarang mereka.

Soalan tentang poligami ini memang menarik kerana pada zaman sekarang poligami dipandang sebagai satu amalan tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang walaupun dalam Alkitab tidak ada larangan atau pengecaman khusus tentang amalan ini. Kali pertama seorang lelaki direkodkan mempunyai lebih satu isteri dalam Alkitab ialah Lamek (Kejadian 4:19, dua isteri) dan kemudian disusuli dengan nama-nama beberapa lelaki utama dalam Perjanjian Lama yang mengamalkan poligami: Abraham, Yakub, Daud dan Salomo. Dalam 2 Samuel 12:8, Allah berkata Dia akan beri lebih ramai isteri kepada Daud jika yang dia ada sekarang tidak mencukupi dan mengikut statistik 1 Raja-Raja 11:3, Salomo mempunyai 700 orang isteri dan 300 orang gundik!

Walaupun nampaknya poligami dibenarkan dalam Perjanjian Lama, Alkitab pada masa yang sama menyampaikan monogami sebagai rencana ideal Allah bagi manusia - formula perkahwinan dalam Kejadian 2:24 merujuk kepada kesatuan satu lelaki dan satu perempuan. Allah menciptakan Adam dan Hawa untuk bersatu dan menjadi 'satu daging' (Kejadian 2:24). Hasil perkahwinan adalah kewujudan 'satu daging' dan perlunya kesatuan dan harmoni - monogami membenarkan ini berlaku dengan lebih mudah. Kisah Adam dan Hawa pun menunjukkan poligami bukan rencana asal Allah dan walaupun poligami tidak dihalang, ia bukan ideal Allah.

Dalam Ulangan 17:14-20, Allah juga berkata bahawa raja tidak harus melipatgandakan jumlah isterinya kerana masalahnya juga akan bertambah (perhatikan apa terjadi kepada raja Solomo dalam 1 Raja-Raja 11:3-4).
Dalam Perjanjian Baru, 1 Timotius 3:2, 12 dan Titus 1:6 mengungkapkan frasa "suami satu isteri" dalam senarai syarat-syarat untuk pemimpin rohani. Walaupun ada beberapa tafsiran apa dimaksudkan oleh frasa ini, jelas ia tidak boleh merujuk kepada seorang yang mempunyai ramai isteri dan walaupun syarat ini khas untuk pemimpin, tidakkah semua lelaki Kristian harus berusaha memiliki semua ciri-ciri pemimpin rohani yang layak?

Efesus 5:22-33 pula bercakap tentang perhubungan suami isteri. Apabila perkataan suami dan isteri digunakan dalam petikan ini, ia dalam bentuk tunggal - kesimpulan mudah ialah perkahwinan merujuk kepada perhubungan antara seorang suami dan isterinya (bukan isteri-isterinya). Jika poligami dibenarkan, maka ayat terakhir dalam petikan di Efesus ini - perbandingan perhubungan Yesus dan gereja dan perhubungan suami isteri - tidak masuk akal. Dan inilah yang mengangkat dan memuliakan perkahwinan monogami - satu Yesus dan satu Gereja (pengantin Tuhan). Konsep poligami memusnahkan gambaran ini.

Apa yang dilihat dalam Alkitab (khususnya Perjanjian Baru) bukannya Allah mengharamkan sesuatu yang dahulu dibenarkan (poligami) tetapi pemulihan perkahwinan kepada tujuan asalnya yang murni (kesatuan antara satu lelaki dan satu perempuan, monogami).


Kenapa Tidak Sunat?

Mereka berkata: Yesus disunat atau tidak? Paulus juga disunat dan dia seorang Lewi atau Farisi dan tahu kebenaran Hukum Taurat. Tetapi Paulus meniadakan dan menghapuskan hukum sunat yang melambangkan Perjanjian Allah dengan Abraham serta umat-Nya.

Jawap saya: Jawapan ringkas saya ialah kerana orang Kristian ialah mereka yang hidup di bawah Perjanjian Baru (yang dimeterai dengan darah dan kematian Yesus), maka tuntutan Hukum Perjanjian Lama tentang sunat tidak lagi pakai.

Mari saya jelaskan sedikit. Amalan sunat ditetapkan oleh Allah sebagai cara mengasingkan umat pilihan-Nya (umat Israel). Kejadian 17 merekodkan perjanjian Allah dengan Abraham (perhatikan khususnya ayat 10-14). Tidak hairanlah, sunat menjadi satu tanda penting bagi orang Yahudi. Menariknya, peralihan sunat yang bakal berlaku ada disebut dalam Perjanjian Lama sebagai pemberitahuan awal apa Allah akan lakukan (contohnya Ulangan 30:6).

Soal sunat merupakan satu daripada isu paling besar yang dihadapi oleh umat Kristian awal SESUDAH Injil mula diterima oleh mereka yang bukan Yahudi dan orang bukan penganut agama Yahudi. Isu hangat ini berlegar di sekeliling soalan, “Apakah pengikut Injil (Yesus) yang bukan Yahudi perlu mengamalkan hukum-hukum Allah dalam Perjanjian Lama yang diwajibkan kepada orang Yahudi?” Isu ini dibincangkan oleh pemimpin gereja awal di Yerusalem dan akhirnya keputusan dibuat dan dicatat dalam Kisah Para Rasul 15.

Keputusan Majlis Yerusalem ini (yang direkodkan dalam KPR 15) sangat penting– isu sunat ada diperdebatkan dan rasul Petrus akhirnya menyimpulkan penyelamatan adalah hasil karya kasih kurnia Yesus dan bukan kerana tanda sunat. Keputusan Majlis ini diisytiharkan kepada semua gereja melalui sebuah surat yang dalamnya menyatakan syarat-syarat untuk orang percaya bukan Yahudi (KPR 15:28-29) – tuntutan untuk sunat dibatalkan. Rasul Paulus beberapa tahun kemudian mengesahkan dan menerangkan keputusan ini dalam surat-suratnya (1 Korintus 7:17-20; Galatia 2:1-3; 5:1-11; 6:11-16; Kolose 2:8-12; Filipi 3:1-3).

Penjelasan panjang lebar tentang pemansuhan amalan sunat dalam surat-surat Paulus ini diberi kepada gereja-gereja di luar Israel yang banyak dianggotai orang percaya bukan Yahudi. Mereka ini sering diganggu oleh sekumpulan orang Yahudi yang berkepercayaan bahawa pengikut-pengikut Yesus (Injil) mesti disunat dan mesti ikut hukum-hukum Perjanjian Lama. Jadi Paulus bukannya meniadakan atau menghapuskan hukum sunat tetapi memberi penjelasan serta penyataan Allah mengapa sunat tidak lagi diamalkan, sesuai dengan keputusan Majlis Yerusalem.

Penerangan rasul Paulus secara keseluruhan menyatakan bahawa sesudah manusia itu diselamatkan melalui iman dalam Yesus, hidup dalam pertaubatan dan bergantung sepenuhnya atas karya sempurna Yesus di atas salib, hatinya telah disunatkan. Banyak rujukan kepada sunat dalam Perjanjian Baru menyentuh hal menyunat hati (pembuangan sifat lama yang dilakukan oleh Yesus melalui iman kita, contohnya dalam Kolose 2:9-12). Alkitab memberi kebebasan kepada orang percaya bukan Yahudi untuk tidak disunatkan, dan langsung tidak menerima hujah bahawa seseorang itu perlu disunatkan untuk selamat dan disucikan oleh Tuhan (perhatikan ayat-ayat khususnya dalam Galatia 2:1-3; 5:1-11; 6:11-16).

Dalam Perjanjian Baru menyunat hati ialah tuntutan Allah, bukannya menyunat anggota tubuh fizikal. Sekarang tanda perjanjian adalah satu tanda rohani, bukannya tanda fizikal.



Saturday, August 3, 2013

Dosa Diwarisi?

Mereka berkata: Apakah dosa itu diwarisi? Jika kanak-kanak menikmati kerajaan Allah, maka terbuktilah tiada dosa warisan (Lukas 18:15-17 , Matius 19:13-15, Markus 10:13-16).

Jawab saya: Berlawanan dengan idea manusia dilahirkan neutral tanpa noda dosa, Firman Allah menyatakan bahawa kita dilahirkan dengan sifat dosa yang telah diwarisi daripada ibu bapa kita yang telah mereka warisi daripada generasi-generasi sebelumnya.

Kerana ketidaktaatan Adam dan Hawa (Kejadian 3), dosa telah menjadi warisan semua keturunan mereka. Roma 5:12 berkata bahawa “sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang, dan oleh dosa itu juga maut, demikianlah maut itu telah menjalar kepada semua orang, karena semua orang telah berbuat dosa.” Seperti mana kita mewarisi sifat-sifat lain ibu bapa kita, ketika kita terbentuk dalam rahim ibu kita, kita juga mewarisi sifat dosa mereka: Sesungguhnya, dalam kesalahan aku diperanakkan, dalam dosa aku dikandung ibuku (Mazmur 51:5).

Kerana pewarisan ini, manusia berdosa dalam sifat dan perbuatan mereka. Ramai orang percaya manusia berdosa apabila dia melakukan dosa (perbuatan yang melanggar apa yang berkenan kepada Allah – lihat 1 Yohanes 3:4; Ulangan 9:7; Yosua 1:18) manakala orang Kristian percaya manusia melakukan dosa (perbuatan yang melanggar apa yang berkenan kepada Allah) kerana secara semula jadi mereka adalah makhluk berdosa (memiliki sifat cenderung kepada dosa yang diwarisi daripada Adam). Kita dilahirkan sebagai orang berdosa – kita tidak belajar berdosa tetapi setiap manusia dengan berjaya berdosa dan itu sebabnya semua manusia di dunia berdosa. Kita semua diperanakkan ‘menurut rupa dan gambar’ Adam (Kejadian 5:3) dan ini bermaksud kita mewarisi rupa yang telah dicemari dosa.


Kerana itu Alkitab berkata bahawa semua manusia telah berdosa dan akan dikenakan hukuman – pengasingan selama-lamanya daripada Allah dan Kerajaan-Nya (Roma 3:23, 6:23). Petikan seperti Lukas 18:15-17 (dan kisah yang sama dalam Matius 19:13-15, Markus 10:13-16) tidak berkata bahawa kanak-kanak akan masuk ke dalam Kerajaan Allah. Sebaliknya Yesus menggunakan peluang ini, apabila kanak-kanak datang dengan bebas dan gembira kepada-Nya untuk diberkati, sebagai peluang mengajar kebenaran bahawa sesiapa yang mempunyai iman (datang kepada Yesus dengan bebas dan gembira kerana yakin Dia boleh) seperti yang ditunjukkan oleh kanak-kanak itu sememangnya akan masuk ke dalam kerajaan Tuhan. Sesungguhnya, sesiapa yang mengaku dengan mulutnya, bahawa Yesus adalah Tuhan, dan percaya dalam hatinya, bahawa Allah telah membangkitkan Dia dari antara orang mati, maka dia akan diselamatkan (Roma 10:9).

Thursday, August 1, 2013

Siapa Lebih Besar?

Mereka berkata: Dalam Yohanes 14:28 Yesus berkata: “Bapa lebih besar dari pada Aku”. Jadi, siapa lebih besar, Bapa atau Anak?

Jawab saya: Soalan ini dan banyak lagi kebingungan serta salah faham yang berkaitan, semuanya timbul hasil kejahilan ramai orang tentang kewujudan dua sifat serentak Yesus - manusia dan ilahi (Yesus adalah 100% manusia dan pada masa yang sama 100% Tuhan/ilahi). Sememangnya bacaan sekali imbas ayat ini akan membuat sesiapapun menyimpulkan bahawa Yesus 'kurang' dari Allah Bapa, maka Yesus kurang berkuasa dan berautoriti malahan bukan Tuhan.


Untuk memahami apa yang dimaksudkan Yesus, ayat ini mesti diperhatikan dalam konteksnya dan prinsip-prinsip pentafsiran mestilah dipatuhi supaya kesimpulan yang dibuat tepat dan boleh diterima.

Masa-Nya untuk disalibkan semakin hampir dan Yesus dengan terbuka bercakap tentang kematian-Nya dan kembali-Nya ke Bapa di syurga. Apabila Yesus menegur murid-murid-Nya yang enggan menerima kenyataan-Nya, Dia berkata bahawa murid-murid-Nya sepatutnya bersukacita kerana Dia pergi kepada Bapa-Nya di syurga sebab “Bapa lebih besar dari pada Aku”.

Seorang manusia yang sakit tenat, untuk menghibur hati mereka yang mengasihi dia, mungkin akan berkata, "Adalah baik saya kembali kepada Bapa" tetapi alasannya ialah kerana dia akan lebih gembira di syurga atau kerana dia akan bebas dari sakit. Adalah pasti dia tidak akan berkata, "Bergembiralah aku ke syurga kerana Allah lebih besar dan berkuasa daripada ku". Kata-kata seperti itu tidak sesuai dan tidak masuk akal sebagai sebab mengapa seseorang harus bersukacita kerana yang dia kasihi akan meninggal dunia!

Dalam erti kata yang sama, apabila Yesus berkata adalah baik Dia kembali ke syurga kerana Allah Bapa lebih besar daripada-Nya, Dia tidak bermaksud Allah lebih agung atau berkuasa berbanding dengan-Nya!

Perkataan yng diterjemah "lebih besar" (meizon) tidak bermaksud daripada jenis yang lebih agung atau mulia, tetapi ‘besar’ itu lebih dari segi kedudukan atau autoriti. Perkataan ini digunakan Yesus apabila Dia berkata, "Seorang hamba tidak lebih tinggi dari pada tuannya" (Yohanes 13:16;15:20) – dalam ayat-ayat ini yang pasti Dia tidak berkata seorang hamba berbeza komposisi daripada tuannya atau daripada jenis ciptaan yang kurang mulia. Sebaliknya meizon (diterjemahkan lebih tinggi) di sini membawa maksud menduduki tempat yang berstatus, hormat serta autoriti yang lebih tinggi.

Berpandukan ini, apa yang dimaksudkan Yesus ialah Bapa-Nya lebih besar kerana kedudukan-Nya di syurga itu lebih hormat dan lebih berautoriti berbanding kedudukan Anak di dunia. Itulah sebabnya Yesus menyeru murid-murid-Nya bersukacita kerana Dia akan kembali kepada Bapa (yang lebih besar) kerana Dia akan kembali ke tangan kanan Allah Bapa (Efesus 1:19-21; Roma 8:34) dan kembali menikmati kemuliaan yang Dia alami sebelum dunia diciptakan (Yohanes 17:5).

Filipi 2:6 dengan jelas menyatakan bahawa Yesus telah mengosongkan diri-Nya daripada kedudukan dan kemuliaan-Nya sebab Anak dan menjadi hamba - mengambil kedudukan/status hamba (doulos - perkataan sama untuk hamba dalam contoh dari Yohanes di atas) - dan dalam status itu di bumi Dia berkata Bapa di syurga lebih besar daripada Dia yang sekarang di bumi dalam rupa hamba. Yesus berkata Allah lebih besar daripada Dia bukan kerana Dia bukan Tuhan tetapi kerana Dia juga Allah yang telah menjadi manusia (Yohanes 1:1,14; Galatia 4:4-5) dan saya yakin semua orang akan akui bahawa manusia "sedikit rendah daripada malaikat" (Ibrani 2:9).

Maka, hanya dengan melihat konteks dan maksud perkataan yang Yesus pakai serta padanan dengan doktrin dua sifat Yesus (khususnya pengosongan-Nya ketika di dunia), jelaslah Yesus TIDAK berkata Dia kurang dari Allah dari segi komposisi atau peribadi-Nya, tetapi sebagai Anak yang telah menjadi manusia berstatus hamba, Bapa-Nya ketika ayat itu diucapkan sememangnya lebih besar daripada-Nya.

Carta berikut dapat menunjukkan dua sifat Yesus yang berfungsi pada masa yang sama di bumi:

TUHAN
MANUSIA
Dia disembah (Matius. 2:2,11; 14:33)
Dia menyembah Bapa (John 17)
Dia dipanggil Tuhan (Yohanes 20:28; Ibrani 1:8)
Dia dipanggil manusia (Markus 15:39; Yohanes 19:5)
Dia dipanggil Anak Allah (Markus 1:1)
Dia dipanggil Anak Manusia (Yohanes 9:35-37)
Orang berdoa kepadapa-Nya (KPR 7:59)
Dia berdoa kepada Bapa (Yohanes 17)
Dia tanpa dosa (1 Petrus 2:22; Ibrani 4:15)
Dia digoda (Matius 4:1)
Dia tahu segala sesuatu (Yohanes 21:17)
Dia bertambah Dia mati (Roma 5:8)dalam pengetahuan (Lukas 2:52)
Dia memberi kehidupan kekal (Yohanes 10:28)
 Dia mati (Roma 5:8)
Seluruh kepenuhan ilahi diam di dalam-Nya (Kolose 2:9)
Dia memiliki tubuh daging dan tulang (Lukas 24:39)

Itulah sebabnya apabila Yesus berada di dunia Dia pernah berkata Dia berkongsi kemuliaan bersama Bapa sejak mulanya (Yohanes 17:5), bahawa Dia turun dari syurga (Yohanes 3:13) dan bahawa Dia MahaHadir (Matius 28:20) - semua ini sifat milik Allah sahaja!

Untuk memahami Yesus dan kata-kata-Nya, serta semua doktrin tentang Yesus, kita mesti memahami dan menerima hakikat bahawa Yesus memiliki dua sifat - SATU peribadi yang memiliki DUA sifat yang lengkap/penuh!