Mereka berkata: Yesus disunat
atau tidak? Paulus juga disunat dan dia seorang Lewi atau Farisi dan tahu
kebenaran Hukum Taurat. Tetapi Paulus meniadakan dan menghapuskan hukum sunat
yang melambangkan Perjanjian Allah dengan Abraham serta umat-Nya.
Jawap saya: Jawapan ringkas
saya ialah kerana orang Kristian ialah mereka yang hidup di bawah Perjanjian
Baru (yang dimeterai dengan darah dan kematian Yesus), maka tuntutan Hukum
Perjanjian Lama tentang sunat tidak lagi pakai.
Mari saya
jelaskan sedikit. Amalan sunat ditetapkan oleh Allah sebagai cara mengasingkan
umat pilihan-Nya (umat Israel). Kejadian 17 merekodkan perjanjian Allah dengan
Abraham (perhatikan khususnya ayat 10-14). Tidak hairanlah, sunat menjadi satu
tanda penting bagi orang Yahudi. Menariknya, peralihan sunat yang bakal berlaku
ada disebut dalam Perjanjian Lama sebagai pemberitahuan awal apa Allah akan
lakukan (contohnya Ulangan 30:6).
Soal sunat
merupakan satu daripada isu paling besar yang dihadapi oleh umat Kristian awal
SESUDAH Injil mula diterima oleh mereka yang bukan Yahudi dan orang bukan
penganut agama Yahudi. Isu hangat ini berlegar di sekeliling soalan, “Apakah
pengikut Injil (Yesus) yang bukan Yahudi perlu mengamalkan hukum-hukum Allah
dalam Perjanjian Lama yang diwajibkan kepada orang Yahudi?” Isu ini dibincangkan
oleh pemimpin gereja awal di Yerusalem dan akhirnya keputusan dibuat dan
dicatat dalam Kisah Para Rasul 15.
Keputusan Majlis
Yerusalem ini (yang direkodkan dalam KPR 15) sangat penting– isu sunat ada
diperdebatkan dan rasul Petrus akhirnya menyimpulkan penyelamatan adalah hasil
karya kasih kurnia Yesus dan bukan kerana tanda sunat. Keputusan Majlis ini
diisytiharkan kepada semua gereja melalui sebuah surat yang dalamnya menyatakan
syarat-syarat untuk orang percaya bukan Yahudi (KPR 15:28-29) – tuntutan untuk
sunat dibatalkan. Rasul Paulus beberapa tahun kemudian mengesahkan dan
menerangkan keputusan ini dalam surat-suratnya (1 Korintus 7:17-20; Galatia
2:1-3; 5:1-11; 6:11-16; Kolose 2:8-12; Filipi 3:1-3).
Penjelasan
panjang lebar tentang pemansuhan amalan sunat dalam surat-surat Paulus ini
diberi kepada gereja-gereja di luar Israel yang banyak dianggotai orang percaya
bukan Yahudi. Mereka ini sering diganggu oleh sekumpulan orang Yahudi yang
berkepercayaan bahawa pengikut-pengikut Yesus (Injil) mesti disunat dan mesti
ikut hukum-hukum Perjanjian Lama. Jadi Paulus bukannya meniadakan atau
menghapuskan hukum sunat tetapi memberi penjelasan serta penyataan Allah
mengapa sunat tidak lagi diamalkan, sesuai dengan keputusan Majlis Yerusalem.
Penerangan rasul
Paulus secara keseluruhan menyatakan bahawa sesudah manusia itu diselamatkan
melalui iman dalam Yesus, hidup dalam pertaubatan dan bergantung sepenuhnya
atas karya sempurna Yesus di atas salib, hatinya telah disunatkan. Banyak
rujukan kepada sunat dalam Perjanjian Baru menyentuh hal menyunat hati
(pembuangan sifat lama yang dilakukan oleh Yesus melalui iman kita, contohnya
dalam Kolose 2:9-12). Alkitab memberi kebebasan kepada orang percaya bukan
Yahudi untuk tidak disunatkan, dan langsung tidak menerima hujah bahawa
seseorang itu perlu disunatkan untuk selamat dan disucikan oleh Tuhan
(perhatikan ayat-ayat khususnya dalam Galatia 2:1-3; 5:1-11; 6:11-16).
Dalam Perjanjian
Baru menyunat hati ialah tuntutan Allah, bukannya menyunat anggota tubuh
fizikal. Sekarang tanda perjanjian adalah satu tanda rohani, bukannya tanda
fizikal.
No comments:
Post a Comment