Kata mereka: Mengapa wanita
Kristian tidak menutupi kepala mereka sesuai dengan ajaran dalam 1 Korintus
11:5-6?
Jawap saya: Bacaan sekali
imbas 1 Korintus 11:3-16 akan menunjuk bahawa petikan ini menyentuh isu wanita
dan penutupan kepala. Konteks petikan ini ialah ketaatan (tunduk) kepada urutan
pemberian-Allah atau rantaian perintah ilahi. Penutup kepala wanita dipakai
sebagai ilustrasi urutan, keketuaan dan autoriti Allah. Ayat kunci dalam
petikan ini sebenarnya adalah 1 Korintus 11:3 – "Tetapi aku mau, supaya
kamu mengetahui hal ini, yaitu Kepala dari tiap-tiap laki-laki ialah Kristus,
kepala dari perempuan ialah laki-laki dan Kepala dari Kristus ialah
Allah." Urutan Alkitabiah keketuaan ialah Allah Bapa, Allah Anak,
lelaki/suami dan perempuan/isteri.
Dalam petikan
ini, tertulis kata-kata berikut juga: “Itulah sebabnya, perempuan harus
menudungi kepalanya untuk menunjukkan, bahawa ia berada di bawah kuasa. Dan dia
juga harus melakukan hal itu karena para malaikat.” (ayat 10, terjemahan WBTC
Draft).
Penggunaan
penutup kepala oleh seorang isteri di bandar raya Korintus adalah cara ia
menunjuk bahawa dia di bawah autoriti suaminya dan dengan itu sedang tunduk
kepada Allah. Mungkin juga ada yang tertanya, “Mengapa menutup kepala penting
bagi malaikat?” 1 Petrus 1:12 berkata perhubungan manusia dengan Allah
diperhatikan oleh malaikat dan oleh itu tunduknya seorang wanita kepada
autoriti yang didelegasikan oleh Tuhan menjadi satu contoh baik kepada
malaikat. Malaikat yang tunduk kepada Allah sepenuhnya mengharapkan manusia
juga berlaku sama.
Juga perlu
dinyatakan bahawa tudung kepala ini tidak harusnya sekeping kain tetapi boleh
juga merujuk kepada rambut panjang seorang wanita (khususnya rambut wanita pada
zaman surat ini ditulis). Mengapa? “Sebab rambut diberikan kepada perempuan
untuk menjadi penudung.” (ayat 15). Dalam konteks ini, wanita Kristian
digalakkan menyimpan rambut mereka panjang sebagai tanda membezakan mereka
daripada lelaki dan juga untuk menunjukkan tunduk mereka kepada suami mereka
sebagai kepala.
Tetapi kenapa
rambut yang menjadi isu dalam petikan dan masa ini? Pada zaman Paulus, wanita
yang bekerja di tempat kuil-kuil di Korintus sebagai pelacur memotong rambut
mereka – itulah tandanya mereka adalah pelacur kuil. Bagi perempuan seperti
ini, apalagi setelah menjadi orang Kristian, kata Paulus, mesti menutup kepala
mereka yang telah dibotakkan (ayat 6) kerana seorang wanita yang telah hilang
rambutnya telah hilang ‘kemuliaannya’ dan tanda bahawa dia tunduk kepada
suaminya. Wanita yang mempunyai kepala botak dengangan erti kata lain
menyampaikan mesej: “Saya enggan tunduk kepada urutan Allah”.
Paulus cuba
menunjukkan kepada jemaah di Korintus bahawa rambut panjang atau kepala
bertudung adalah tanda luaran hati yang tunduk kepada Allah dan autoriti yang
ditentukan-Nya. Ini penting supaya umat Allah jelas kelihatan berbeza daripada
kebudayaan pagan yang buruk di Korintus (2 Korintus 6:17). Paulus dalam surat
ini melarang wanita Kristian membotakkan kepala mereka atau menanggalkan tudung
kepala mereka kerana di Korintus kedua-dua perbuatan itu menyampaikan mesej
buruk di dalam dan di luar gereja.
Di Korintus,
apabila seorang wanita menutup kepalanya ketika ibadah atau di tempat umum, ia
sedang mengisytiharkan ketundukannya kepada autoriti Allah dan suaminya. Hari
ini menutup kepala di banyak tempat tidak lagi satu tanda tunduk kepada
autoriti; sering kali penutup kepala seperti topi dan selendang adalah item
fesyen. Di tempat-tempat di mana menutup kepala masih dipakai sebagai tanda
tunduk kepada Allah dan suami, adalah baik wanita Kristian juga menudung kepala
mereka tetapi yang lebih penting adalah keadaan hati setiap wanita – adakah ia
tunduk kepada autoriti Allah dan kepada suaminya seperti kepada Tuhan (Efesus
5:22)?
Mesti dikatakan
di sini, walaupun suami adalah kepala isteri seperti mana Allah Bapa ialah
kepala Kristus, tidak ada ketidaksamaan atau kekurangan dalam apa-apa aspek
bagi yang tunduk. Allah Bapa dan Yesus bersatu dan sama, sama seperti seorang
suami dan isteri. Wanita tidak kurang daripada lelaki dan tidak diseru tunduk
kepada semua lelaki.
Akhirnya satu
peringatan kepada setiap wanita ketika di tempat ibadah atau di tempat umum:
“Aku juga ingin agar para perempuan memakai pakaian yang layak. Mereka
hendaklah berpakaian yang sopan dan sederhana, tidak memakai model rambut yang
aneh-aneh, atau emas, mutiara, pakaian yang mahal untuk membuat mereka cantik.
Mereka harus mempercantik dirinya dengan melakukan yang baik. Orang yang
menyatakan diri mau menyembah Allah harus mempercantik dirinya dengan cara
demikian.” (1 Timotius 2:9-10, terjemahan WBTC).