Kata mereka: Mengapa orang
Kristian makan daging babi sedangkan itu bertentangan dengan Ulangan 14:8?
Jawap saya: Memakan babi
jelas dilarang dalam Perjanjian Lama (Imamat 11:7-8) dan semua orang Israel
yang hidup mentaati Hukum Musa sampai hari ini tidak menyentuh apa lagi makan
binatang ini. Halangan yang sama ada dalam Surat-ul Baqara 2:173, dan seperti
yang diketahui, orang Islam juga tidak makan babi.
Untuk menjawab
soalan ini, adalah penting kita memahami sifat Hukum Musa dan tujuan khusus
hukum ini untuk umat Israel. Hukum-hukum dalam Perjanjian Lama boleh
dibahagikan kepada dua jenis – hukum moral dan hukum sivil.
Hukum moral
berkaitan dengan etika hidup dan tujuannya adalah untuk membezakan umat Israel
daripada bangsa lain berdasarkan kesucian dalaman mereka dan hormat mereka
kepada Allah dan manusia. Hukum-hukum moral Perjanjian Lama bertujuan
mempertingkatkan standard kesucian dan menjadi model kepada semua manusia
generasi. Hukum Sepuluh adalah contoh hukum moral dan telah dipakai sebagai
penentu untuk setiap tanggungjawab manusia kepada Allah dan manusia yang tidak
diubah oleh perubahan zaman atau budaya. Hukum-hukum seperti ini tidak
mengalami perubahan.
Lain pula
ceritanya dengan hukum sivil yang berkaitan dengan undang-undang dan
peraturan-peraturan berkaitan kehidupan seharian yang dipengaruhi oleh keadaan
sekeliling dan budaya bangsa-bangsa tidak taat kepada Allah. Undang-undang
sivil menyentuh hal-hal seperti kebersihan, pemakanan, pakaian dan
amalan-amalan keagamaan. Tujuan hukum-hukum ini ialah untuk membezakan bangsa
Israel daripada bangsa lain berdasarkan kesucian luaran mereka. Orang Israel
dituntut Tuhan supaya tidak mengamalkan amalan-amalan dan kepercayaan tahyul
orang tidak percaya Allah yang ada di sekeliling mereka.
Satu daripada
undang-undang sivil ialah hukum yang melarang memakan daging babi. Adalah
amalan biasa kaum-kaum tidak percaya Tuhan pada masa itu untuk mengorbankan
babi kepada tuhan-tuhan mereka. Juga babi pada masa itu adalah satu ekor binatang
yang kotor yang makan bahan buangan dan bangkai. Kerana itu banyak penyakit
disebarkan melalui amalan memakan daging babi.
Umat Israel
diseru mengasingkan diri mereka daripada amalan tidak suci orang tidak kenal
Tuhan ini dan kekotoran yang berkaitan dengan babi. Ini adalah kerana umat Israel
dipanggil Allah untuk menjadi bangsa contoh yang suci, berbeza dan taat kepada
Allah. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Perjanjian Lama dan Al Quran (Surat-us
Sad (38):45-46, Surat-ul Baqara (2):47).
Sedihnya, pada
zaman Yesus, umat Israel telah lupa tujuan asal hukum sivil. Sekarang hukum
sivil dipandang sebagai amalan-amalan yang menentukan kesucian dalaman
seseorang (contohnya, mereka yang tidak cuci tangan sebelum sembahyang dianggap
kotor dalam hadirat Tuhan) dan bukan itu sahaja, pemimpin-pemimpin agama pada
masa itu telah memperkenalkan banyak lagi syarat-syarat dan tuntutan yang
dikatakan adalah pengukur kesucian yang benar.
Akibatnya ramai
orang terikat kepada pengamalan ritual-ritual agama yang ‘mati’ dengan
keangkuhan dan kemunafikan. Orang alim kini ialah mereka yang selalu berdoa,
mencuci tangan dan hanya makan makanan yang dibenarkan walaupun hati mereka
penuh dengan kebencian dan hawa nafsu!
Yesus nampak ini
dan mengambil tindakan yang perlu – Dia mengisytiharkan semua makanan suci dan
menekankan kesucian dalaman (hati). Perubahan ini juga diiktiraf dalam Al Quran
- Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab
Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu
sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu (Surat-u
Ali Imran (3):50).
Dalam Markus
7:18-23, Yesus dengan jelas menegaskan bahawa yang menajiskan manusia ialah apa
yang ada dalam hatinya dan apa yang dilakukan/diluahkannya dan bukan apa yang
masuk ke dalam perutnya. Ayat ini sahaja menunjukkan bahawa Yesus
mengisytiharkan semua makanan sebagai ‘halal’.
Adalah menarik
bahawa untuk menyediakan rasul Petrus untuk menginjil mereka yang bukan Yahudi,
Allah memerintah Petrus memakan binatang-binatang yang dianggap ‘kotor’ dalam
Hukum Musa dalam sebuah visi. Sebagai seorang Yahudi yang salih, Petrus melawan
perintah Allah dan adalah penting untuk kita perhatikan jawapan Allah dalam KPR
10:15 – "Apa yang dinyatakan halal
oleh Allah, tidak boleh engkau nyatakan haram." Walaupun ayat ini merujuk
secara spesifik kepada usaha Allah menyediakan Petrus (dan gereja berbangsa
Yahudi pada masa itu) untuk menerima orang bukan Yahudi dan menginjil mereka
(lihat ayat 28), ia secara tidak langsung juga meniadakan pengharaman makanan
tertentu kerana sesiapa yang makan makanan haram dianggap orang yang ‘kotor’.
Dalam insiden ini, mereka yang ‘kotor’ kerana memakan makanan ‘kotor’ sekarang
dikatakan Tuhan boleh didampingi dan diterima (kerana undang-undang makanan
haram dan halal tidak pakai dan berkesan).
Dalam KPR 15,
para rasul di bawah pimpinan Roh Kudus membebaskan semua orang Kristian bukan
Yahudi daripada hukum-hukum pemakanan Yahudi (kecuali tidak boleh makan darah
dan binatang yang dicekik, lihat ayat
28-29) dan dalam 1 Korintus Paulus berkata semua makanan boleh diterima
selagi ia tidak mengganggu hati nurani sensitif saudara seiman yang lemah.
Kolose 2:13-17
pula menekankan bahawa semua ketentuan-ketentuan hukum Musa telah dihapuskan
oleh Yesus dengan memakukannya pada kayu salib (ayat 14) dan kerana itu kita
(orang Kristian) tidak patut membiarkan orang menghukum kita mengenai makanan
ia hanyalah bayangan dari apa yang harus datang. Secara ringkas, apabila Yesus
dipakukan di atas kayu salib, semua hukum-hukum sivil mengenai makanan telah
dihapuskan.
Selanjutnya,
menuntut supaya orang Kristian tidak makan makanan tertentu (perkataan daging
dipakai secara khusus di sini) dikatakan adalah satu amalan pendusta-pendusta
pada akhir zaman yang dikuasai roh-roh penyesat dan ajaran mereka dipanggil
ajaran setan-setan (1 Timotius 4:1-3). Sebaliknya orang Kristian dinasihati
menerima dan memakan semua jenis makanan dengan ucapan syukur kerana ‘semua
yang diciptakan Allah itu baik (termasuk babi) dan suatu pun tidak ada yang
haram, jika diterima dengan ucapan syukur, sebab semuanya itu dikuduskan oleh
firman Allah dan oleh doa’ (1 Timotius 4:4-5).
Buku Ibrani pula
berkata bahawa Hukum Musa sudah lapuk dan telah digantikan dengan satu
Perjanjian Baru – “Dengan mengemukakan suatu perjanjian yang baru, Allah
membuat perjanjian yang pertama itu menjadi tua dan usang; dan apa yang sudah
tua, akan segera pula lenyap.” Ini juga ditekankan oleh rasul Paulus dalam
Galatia 4:21-31 di mana kita diberitahu Hukum Lama telah dibuang dan diganti
dengan Hukum Baru Kristus. Oleh itu semua peraturan-peraturan tentang makanan
halal dan haram (dan banyak lagi perkara seperti pengorbanan binatang,
hukum-hukum cucian dan hari-hari raya tertentu) telah disingkirkan.
Hari ini hanya
hukum-hukum dari Hukum Lama yang diteruskan dalam Perjanjian Baru masih
diamalkan dan laku pakai bagi orang Kristian (contohnya larangan membunuh dan
mencuri) kerana apabila Yesus mati Hukum Baru Kristus mula pakai (Ibrani
9:16-22). Pada akhir zaman, manusia akan dihakimi berdasarkan Hukum Baru Yesus
(Yohanes 12:48) ini.
Coba cari di Alkitab kalau ada istilah makanan haram.
ReplyDeleteKalau hukum moral masih betlaku. Hari apakah hari perbaktian yang diperintahkan Hukum keempat?