Thursday, September 5, 2013

Puasa Wajib?

Mereka berkata: Kenapa orang Kristian tidak wajib berpuasa?

Jawap saya: Walaupun orang Kristian tidak wajib berpuasa - ada hari atau bulan tertentu di mana mesti berpuasa - mereka tetap berpuasa dan ia merupakan satu daripada disiplin Kristian yang penting. Puasa Kristian tidak ditetapkan masanya kerana tujuan dan fungsi puasa bagi orang Kristian adalah berbeza daripada banyak agama lain dan dengan itu memerlukan kebebasan dalam pengamalannya. Yang pasti orang Kristian berpuasa.

Yesus berpuasa (Matius 4:2, 8-11) dan dalam ajaran-ajaran-Nya Dia menggunakan frasa 'dan apabila kamu berpuasa' (Matius 6:16) yang menunjukkan bahawa bagi Yesus, puasa adalah dan akan terus menjadi satu amalan murid-muridnya. Dalam Kisah Para Rasul ada dicatat beberapa insiden di mana murid-murid Yesus berpuasa - gereja di Antiokhia (KPR 13:2-3), Paulus dan Barnabas (KPR 14:23, 2 Korintus 6:5; 11:27) - dan sejarah Kristian menunjukkan berpuasa adalah amalan semua orang Kristian yang membawa banyak faedah peribadi dan telah menyongsong masuk banyak perubahan dalam gereja dan negara-negara tertentu.

Orang Kristian berpuasa kerana sebab-sebab tertentu yang tidak terbatas kepada satu hari atau bulan tertentu tetapi berdasarkan situasi sekeliling atau keadaan/keperluan orang Kristian itu. Orang Kristian berpuasa kerana mereka mahu dan mempunyai keperluan/hajat tertentu.

Mereka berpuasa apabila mahu
  • menyediakan diri untuk melayani atau dipimpin Roh Tuhan (Matius 4:4)
  • merendahkan diri di hadapan Tuhan (Daniel 9:3)
  • meminta bantuan Tuhan (2 Samuel 12:16; Ester 4:16; Ezra 8:23)
  • mencari kehendak Tuhan (Acts 13:2-3)
  • bertaubat (Yunus 3:5-10)
  • menyembah Tuhan tanpa gangguan (Lukas 2:36-38)


Jelas daripada sebab-sebab ini, puasa Kristian tidak boleh diwajibkan kerana tujuan puasa seperti yang disebut di atas tidak berlaku pada masa-masa yang telah ditetapkan sahaja.

Yesus juga memberi amaran kepada mereka yang mengamalkan puasa yang wajib (masanya ditetapkan dan mesti ditaati) supaya tidak menjadi bongkak dan berpendapat mereka lebih rohani kerana berjaya mendisiplinkan diri untuk berpuasa pada masa yang ditetapkan. Dalam Matius 6:16-18, Dia menyeru orang berpuasa supaya jangan menunjukkan tanda-tanda luaran (apa lagi dengan sengaja) bahawa mereka berpuasa - berpuasa haruslah sesuatu yang peribadi dan rahsia, antara yang berpuasa dan Tuhannya. Dia juga menegaskan bahawa amalan berpuasa tidak membebaskan seseorang daripada dosa atau menjanjikan jalan masuk ke syurga (Lukas 18:11-14, lihat juga Yesaya 64:6).

Alkitab juga menunjukkan bahawa berpuasa (dengan rujukan khas kepada orang Yahudi yang berpuasa wajib) tidak semestinya menyentuh Tuhan. Bagi Tuhan berpuasa itu hanya bermakna dan berkesan jika dia yang berpuasa mengamalkan gaya hidup seorang pendamai dan tidak memukul atau mencederakan orang lain (Yesaya 58:3-9) dan dalam Yeremia 14:12, Tuhan berkata puasa (yang dilakukan kerana wajib) tidak akan diterima-Nya kerana yang mengamalkan puasa tidak berbalik daripada kejahatan mereka. Zakaria 7:5-6, berpuasa dikatakan tidak berbaloi kerana ketamakan dan kejahatan yang diamalkan oleh mereka yang taat berpuasa pada bulan/hari berpuasa.

Yesus telah mengubah masa dan sebab berpuasa. Apabila Dia ditanya kenapa murid-murid-Nya tidak berpuasa seperti orang Farisi (berpuasa dua kali seminggu dan pada bulan puasa Yahudi) dan murid-murid Yohanes Pembaptis (yang berpuasa untuk pertaubatan dan pengudusan, Matius 9:14), Yesus berkata bahawa sesudah Ia kembali ke syurga, murid-murid-Nya akan berpuasa. Dia kemudian memberi satu perumpamaan tentang kain baru dan wain baru yang tidak boleh disimpan dalam bekas lama, menandakan bahawa puasa murid-murid-Nya akan berbeza daripada puasa-puasa yang diamalkan di Israel sebelumnya (puasa wajib, puasa yang mempunyai sebab-sebab yang berbeza daripada sebab-sebab orang Kristian berpuasa). Lihat Matius 9:14-17.

Yesus telah menetapkan bahawa orang Kristian harus berdoa dan berpuasa (Matius 17:21, Markus 9:29), dan inilah yang dilakukan oleh murid-murid-Nya (1 Korintus 7:5). Walaupun begitu masanya, tempohnya dan jenisnya berpuasa adalah ditentukan oleh si dia yang berpuasa sesuai dengan tujuan dia berpuasa.


No comments:

Post a Comment