Friday, September 27, 2013

Wanita Tidak Bertudung?

Kata mereka: Mengapa wanita Kristian tidak menutupi kepala mereka sesuai dengan ajaran dalam 1 Korintus 11:5-6?

Jawap saya: Bacaan sekali imbas 1 Korintus 11:3-16 akan menunjuk bahawa petikan ini menyentuh isu wanita dan penutupan kepala. Konteks petikan ini ialah ketaatan (tunduk) kepada urutan pemberian-Allah atau rantaian perintah ilahi. Penutup kepala wanita dipakai sebagai ilustrasi urutan, keketuaan dan autoriti Allah. Ayat kunci dalam petikan ini sebenarnya adalah 1 Korintus 11:3 – "Tetapi aku mau, supaya kamu mengetahui hal ini, yaitu Kepala dari tiap-tiap laki-laki ialah Kristus, kepala dari perempuan ialah laki-laki dan Kepala dari Kristus ialah Allah." Urutan Alkitabiah keketuaan ialah Allah Bapa, Allah Anak, lelaki/suami dan perempuan/isteri.

Dalam petikan ini, tertulis kata-kata berikut juga: “Itulah sebabnya, perempuan harus menudungi kepalanya untuk menunjukkan, bahawa ia berada di bawah kuasa. Dan dia juga harus melakukan hal itu karena para malaikat.” (ayat 10, terjemahan WBTC Draft). 

Penggunaan penutup kepala oleh seorang isteri di bandar raya Korintus adalah cara ia menunjuk bahawa dia di bawah autoriti suaminya dan dengan itu sedang tunduk kepada Allah. Mungkin juga ada yang tertanya, “Mengapa menutup kepala penting bagi malaikat?” 1 Petrus 1:12 berkata perhubungan manusia dengan Allah diperhatikan oleh malaikat dan oleh itu tunduknya seorang wanita kepada autoriti yang didelegasikan oleh Tuhan menjadi satu contoh baik kepada malaikat. Malaikat yang tunduk kepada Allah sepenuhnya mengharapkan manusia juga berlaku sama.

Juga perlu dinyatakan bahawa tudung kepala ini tidak harusnya sekeping kain tetapi boleh juga merujuk kepada rambut panjang seorang wanita (khususnya rambut wanita pada zaman surat ini ditulis). Mengapa? “Sebab rambut diberikan kepada perempuan untuk menjadi penudung.” (ayat 15). Dalam konteks ini, wanita Kristian digalakkan menyimpan rambut mereka panjang sebagai tanda membezakan mereka daripada lelaki dan juga untuk menunjukkan tunduk mereka kepada suami mereka sebagai kepala.

Tetapi kenapa rambut yang menjadi isu dalam petikan dan masa ini? Pada zaman Paulus, wanita yang bekerja di tempat kuil-kuil di Korintus sebagai pelacur memotong rambut mereka – itulah tandanya mereka adalah pelacur kuil. Bagi perempuan seperti ini, apalagi setelah menjadi orang Kristian, kata Paulus, mesti menutup kepala mereka yang telah dibotakkan (ayat 6) kerana seorang wanita yang telah hilang rambutnya telah hilang ‘kemuliaannya’ dan tanda bahawa dia tunduk kepada suaminya. Wanita yang mempunyai kepala botak dengangan erti kata lain menyampaikan mesej: “Saya enggan tunduk kepada urutan Allah”.

Paulus cuba menunjukkan kepada jemaah di Korintus bahawa rambut panjang atau kepala bertudung adalah tanda luaran hati yang tunduk kepada Allah dan autoriti yang ditentukan-Nya. Ini penting supaya umat Allah jelas kelihatan berbeza daripada kebudayaan pagan yang buruk di Korintus (2 Korintus 6:17). Paulus dalam surat ini melarang wanita Kristian membotakkan kepala mereka atau menanggalkan tudung kepala mereka kerana di Korintus kedua-dua perbuatan itu menyampaikan mesej buruk di dalam dan di luar gereja.

Di Korintus, apabila seorang wanita menutup kepalanya ketika ibadah atau di tempat umum, ia sedang mengisytiharkan ketundukannya kepada autoriti Allah dan suaminya. Hari ini menutup kepala di banyak tempat tidak lagi satu tanda tunduk kepada autoriti; sering kali penutup kepala seperti topi dan selendang adalah item fesyen. Di tempat-tempat di mana menutup kepala masih dipakai sebagai tanda tunduk kepada Allah dan suami, adalah baik wanita Kristian juga menudung kepala mereka tetapi yang lebih penting adalah keadaan hati setiap wanita – adakah ia tunduk kepada autoriti Allah dan kepada suaminya seperti kepada Tuhan (Efesus 5:22)?

Mesti dikatakan di sini, walaupun suami adalah kepala isteri seperti mana Allah Bapa ialah kepala Kristus, tidak ada ketidaksamaan atau kekurangan dalam apa-apa aspek bagi yang tunduk. Allah Bapa dan Yesus bersatu dan sama, sama seperti seorang suami dan isteri. Wanita tidak kurang daripada lelaki dan tidak diseru tunduk kepada semua lelaki.

Akhirnya satu peringatan kepada setiap wanita ketika di tempat ibadah atau di tempat umum: “Aku juga ingin agar para perempuan memakai pakaian yang layak. Mereka hendaklah berpakaian yang sopan dan sederhana, tidak memakai model rambut yang aneh-aneh, atau emas, mutiara, pakaian yang mahal untuk membuat mereka cantik. Mereka harus mempercantik dirinya dengan melakukan yang baik. Orang yang menyatakan diri mau menyembah Allah harus mempercantik dirinya dengan cara demikian.” (1 Timotius 2:9-10, terjemahan WBTC).

No comments:

Post a Comment