Monday, July 29, 2013

Kenapa Ahad?

Mereka berkata: Ahad ialah hari cuti golongan penyembah berhala. Yesus ialah seorang Yahudi dan Dia menguduskan Sabat bukan Ahad. Lihat Hukum Sepuluh (Ulangan 5:1-21, Keluaran 20:8). Kisah Nabi Musa menerima Sepuluh Hukum juga tercatat dalam Al-Quran. Mengapa orang Kristian tidak mentaati perintah ini?

Jawab saya: Konsep hari Sabat diperkenalkan Allah kepada umat Israel dalam Keluaran 20:8-10 apabila Hukum Sepuluh diberi kepada Musa (Keluaran 20:1-17). Walaupun begitu harus diketahui bahawa hanya sembilan sahaja daripada hukum itu diterima semula sebagai boleh-pakai dalam Perjanjian Baru: lima dalam Matius 19:18 dan empat dalam Roma 13:9. Sabat tidak diteruskan tuntutannya dalam Perjanjian Baru.

Apakah tujuan atau fungsi hari Sabat? Dikatakan pada hari ketujuh (selepas enam hari bekerja mencipta dunia dan isinya) Allah berehat (sabat). Adakah Tuhan boleh letih dan perlu rehat? Tidak sama sekali! Jadi mengapa dikatakan Allah berehat (bersabat)? Jawapannya dalam Markus 2:27 – untuk menunjukkan kepada manusia mereka perlu rehat selepas enam hari bertungkus lumus bekerja, meluangkan masa untuk beribadah dan merehatkan tubuh fizikal lalu mengalami penyegaran tubuh dan roh.

Dalam Perjanjian Lama, pengamalan Sabat adalah sebahagian daripada satu rangkaian hukum-hakam yang orang Israel perlu taat supaya berkenan kepada Tuhan dan layak menerima berkat-Nya. Kegagalan mentaati hukum ini (dan semua hukum lain) menyebabkan orang itu berdosa dan terbuka kepada kutukan dan penghakiman Allah (Yehezkiel 18:4; Roma 6:23;Ulangan 13:1-9; Bilangan 35:31; Imamat 20:2).

Tetapi dengan karya penebusan Yesus atas salib, kita tidak lagi perlu mentaati Hukum Perjanjian Lama untuk berkenan kepada Allah dan diterima-Nya sebagai orang benar. Kita sekarang hidup di bawah naungan kasih kurnia Allah (Roma 6:14-15) dan bebas daripada pelbagai tuntutan Hukum Perjanjian Lama yang dikenakan kepada orang Israel (termasuk Sabat).

Di dalam buku Kisah Para Rasul, ada beberapa ayat yang menunjukkan bahawa orang Kristian awal ada berkumpul pada hari Sabat Yahudi (hari Sabtu pada kalendar Yahudi/Rom diamalkan sebagai hari Sabat) untuk berdoa dan mengkaji Firman Allah, kadangkala di dalam rumah sembahyang agama Yahudi – KPR 3:1; 13:13-14; 16:13; 17:2. Dalam KPR 2:46 dikatakan orang Kristian bertemu di Bait Allah (tempat sembahyang penganut agama Yahudi) setiap hari (jelas orang Kristian tidak hanya mengehadkan diri mereka kepada pertemuan ibadah pada hari Sabtu sahaja)!

Walaupun begitu, dipercayai orang Kristian mula berkumpul pada hari Ahad tidak lama setelah Yesus bangkit daripada kematian, sebagai penghormatan dan peringatan akan kebangkitan Yesus yang berlaku pada hari Ahad, iaitu hari pertama setiap minggu. Contohnya dalam 1 Korintus 16:1-2, rasul Paulus menasihati gereja yang berkumpul pada ‘hari pertama dari tiap-tiap minggu’ untuk mengumpul persembahan. Apabila Paulus bertemu dengan orang percaya di Troas untuk menyembah dan menyambut Jamuan Suci, mereka berkumpul pada ‘hari pertama dalam minggu itu’ (KPR 20:7).

Ada yang berpendapat pindahan dari hari Sabtu ke Ahad berlaku serta-merta sesudah tertubuhnya gereja awal, mana kala ada yang melihat perubahan ini sebagai satu pindahan beransur-ansur dalam sejarah Kristian. Hakikatnya, pindahan hari perayaan akhirnya berlaku.

Hari ini banyak tradisi Kristian menganggap hari Ahad sebagai hari Sabat Kristian berdasarkan ayat-ayat seperti Markus 2:27-28 dan Lukas 6:5 di mana frasa Yesus adalah Tuan Sabat dilihat sebagai pengakuan Yesus berhak menukar hari di mana Sabat diamalkan. Orang Kristian seperti ini percaya perintah Sabat merujuk kepada satu hari dalam tujuh hari dan bukan secara spesifik kepada hari Sabtu dalam kalendar Yahudi/Rom. Dengan memilih hari Ahad sebagai hari Sabat (hari rehat), secara simbolik orang Kristian menyatakan kepercayaan mereka dalam Yesus sebagai Tuhan yang hidup dan Mesias dan bahawa berkat-Nya tidak lagi terhad kepada orang Yahudi sahaja.

Dalam memperhatikan isu ini, soalan sebenar ialah, “Apakah orang Kristian tertakluk kepada pengamalan ibadah pada satu hari tertentu sahaja?”

Alkitab ada jawapannya: Dalam Roma 14:5-6, dikatakan orang Kristian bebas memilih dan mengamalkan ibadah kepada Tuhan pada mana-mana hari yang sesuai! Dalam Kolose 2:16-17 orang Kristian diseru jangan menghakimi atau membenarkan sesiapa menghakimi mereka berkenaan hari Sabat kerana yang terulung ialah Yesus dan bukan hari perayaan memuliakan Yesus diadakan. Rasul Paulus khuatir orang Kristian akan kembali kepada pengamalan agama yang berdasarkan hukum yang mengongkong dan menyekat, sehingga terciptanya hari-hari suci/istimewa. Pengamalan hari-hari suci bukan satu ciri kebebasan dalam Yesus yang diberitakan iman Kristian – Galatia 4:8-10.

Sebagai orang Kristian, kita berpeluang mengasingkan hari tertentu untuk beribadah kepada Tuhan dan berehat daripada kerja. Ini harus dilakukan kerana ketaatan dan kasih kita kepada Tuhan, sesuai dengan keadaan diri kita dan keadaan sekeliling. Ketika saya menjadi gembala di Terengganu, orang Kristian di sana beribadah pada hari Jumaat kerana hari itu mereka cuti dan bebas berkumpul untuk menyembah Yesus. Ada orang terpaksa kerja pada hari Ahad dan hanya mendapat cuti pada hari lain – mereka bebas beribadah kepada Yesus sesuai dengan hari rehat (Sabat) mereka. Kemerdekaan daripada hukum dan kesedaran setiap hari suci dan adalah milik Tuhan membebaskan kita untuk bersabat bersama Tuhan mana-mana hari dalam mana-mana kalendar yang digunakan hari ini!

Saya harap daripada apa yang dikongsi, anda akan sedar Alkitab tidak menuntut kita beribadah pada hari Sabtu. Sebaliknya kita ada kebebasan untu menyembah Tuhan pada mana-mana hari yang sesuai (Roma 14:1-2) dan kerana kita hidup bebas dari Hukum (Roma 6:14), tidak ada orang berhak menentukan hari kita boleh atau tidak boleh menyembah Allah.



Thursday, July 25, 2013

Hari Krismas Hari Perayaan Tuhan Matahari!

Mereka berkata: 25 Disember bukan hari kelahiran Yesus tetapi adalah hari penyembahan Tuhan Matahari (ketika) zaman pemerintahan kerajaan Romawi.

Jawab saya: Rekod pertama 25 Disember dikatakan ialah hari kelahiran Yesus ialah dalam tulisan Hyppolytus dari Rom (TM 170-236) dan juga dalam tulisan-tulisan John Chrysostom dan Cyril dari Yerusalem. Pada kurun kedua SM, seorang ahli sejarah Kristian Rom bernama Sextus Julius Africanus membuat kiraan dan mencadangkan 25 Disember sebagai tarikh kelahiran Yesus. Walaupun banyak andaian dibuat oleh Africanus dalam pengiraannya, tarikh ini diterima ramai.

Akan tetapi tarikh itu diragui.

Tidak ada apa-apa petanda dalam Alkitab tentang masa Yesus dilahirkan. Berdasarkan maklumat tentang kelahiran Yohanes Pembaptis (Lukas 1), ada cendekiawan Kristian berpendapat bulan September-Oktober mungkin masanya Yesus dilahirkan. Biar apa pun, Alkitab tidak menyatakan bila Yesus dilahirkan dan kerana itu, mana-mana hari pun yang dipilih adalah mungkin.

Memang benar beberapa hari sebelum 25 Disember (di Rom) ialah perayaan Saturnalia yang ditujukan kepada dewa Rom bernama Saturn (Tuhan Matahari). Perayaan ini dilangsungkan dengan makan besar, sukacita dan pemberian hadiah. Ramai percaya 25 Disember dipilih supaya orang Kristian akan menggantikan perayaan Saturnalia dengan perayaan Krismas. Penggantian perayaan kuno atau berunsur keagamaan bukan Kristian dengan perayaan Kristian ialah sesuatu yang sering dilakukan orang Kristian sampai sekarang. Di Sarawak contohnya, perayaan pemujaan roh padi dan hasil tuaian di antara Orang Ulu diganti dengan perayaan kebangkitan Yesus (Irau Easter).

Apabila kerajaan Romawi menginstitusikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara pada kurun ke4, gereja Rom menukar perayaan Saturnalia kepada satu cuti am meraikan kelahiran Yesus dan ini telah diteruskan sampai hari ini.

Kerana perayaan Krismas mempunyai asal usul dalam tradisi bukan Kristian (dari aspek tarikh dan cara diraikan), harus orang Kristian meraikan Krismas? Hakikatnya, Krismas diraikan untuk memperingati bukan hanya lahirnya Yesus tetapi inkarnasi Allah, satu daripada doktrin Kristian utama dan satu daripada mukjizat tanpa banding oleh Allah sendiri. Sama ada perayaan ini dilakukan pada hari yang tiada kaitan dengan mana-mana perayaan agama lain, atau adalah pada 25 Disember (sebagai pengganti perayaan Saturnalia pada kurun ke4 di Rom), yang penting ialah apa yang dirayakan dan cara ia dirayakan – jika sesuai dengan kebenaran Alkitab dan memuliakan Allah, ia patut diterima dan diteruskan.

Perlu diakui 25 Disember telah dipilih dan berkurun lamanya telah dipakai sebagai hari untuk memperingati dan mensyukuri kelahiran Yesus iaitu inkarnasi Allah. Amalan agama Ini sesuai dengan prinsip yang digariskan oleh rasul Paulus dalam 1 Korintus 10:31 dan tidak harus diragui. Tahun ini apabila anda menyambut Krismas, ingat, harinya telah dirampas daripada Iblis dan berabad lamanya, orang Kristian menggunakan hari itu untuk memperingati dan mengisytiharkan mesej indah – Immanuel, Allah menyertai kita!