Mereka berkata: Ahad ialah hari cuti golongan penyembah berhala. Yesus ialah seorang
Yahudi dan Dia menguduskan Sabat bukan Ahad. Lihat Hukum Sepuluh (Ulangan
5:1-21, Keluaran 20:8). Kisah Nabi Musa menerima Sepuluh Hukum juga tercatat
dalam Al-Quran. Mengapa orang Kristian tidak mentaati perintah ini?
Jawab saya: Konsep hari Sabat diperkenalkan Allah kepada umat Israel
dalam Keluaran 20:8-10 apabila Hukum Sepuluh diberi kepada Musa (Keluaran
20:1-17). Walaupun begitu harus diketahui bahawa hanya sembilan sahaja daripada
hukum itu diterima semula sebagai boleh-pakai dalam Perjanjian Baru: lima dalam
Matius 19:18 dan empat dalam Roma 13:9. Sabat tidak diteruskan tuntutannya
dalam Perjanjian Baru.
Apakah tujuan atau fungsi hari Sabat? Dikatakan pada hari ketujuh (selepas
enam hari bekerja mencipta dunia dan isinya) Allah berehat (sabat). Adakah
Tuhan boleh letih dan perlu rehat? Tidak sama sekali! Jadi mengapa dikatakan
Allah berehat (bersabat)? Jawapannya dalam Markus 2:27 – untuk menunjukkan
kepada manusia mereka perlu rehat selepas enam hari bertungkus lumus bekerja,
meluangkan masa untuk beribadah dan merehatkan tubuh fizikal lalu mengalami
penyegaran tubuh dan roh.
Dalam Perjanjian Lama, pengamalan Sabat adalah sebahagian daripada satu
rangkaian hukum-hakam yang orang Israel perlu taat supaya berkenan kepada Tuhan
dan layak menerima berkat-Nya. Kegagalan mentaati hukum ini (dan semua hukum
lain) menyebabkan orang itu berdosa dan terbuka kepada kutukan dan penghakiman
Allah (Yehezkiel 18:4; Roma 6:23;Ulangan 13:1-9; Bilangan 35:31; Imamat 20:2).
Tetapi dengan karya penebusan Yesus atas salib, kita tidak lagi perlu
mentaati Hukum Perjanjian Lama untuk berkenan kepada Allah dan diterima-Nya
sebagai orang benar. Kita sekarang hidup di bawah naungan kasih kurnia Allah
(Roma 6:14-15) dan bebas daripada pelbagai tuntutan Hukum Perjanjian Lama yang
dikenakan kepada orang Israel (termasuk Sabat).
Di dalam buku Kisah Para Rasul, ada beberapa ayat yang menunjukkan bahawa
orang Kristian awal ada berkumpul pada hari Sabat Yahudi (hari Sabtu pada
kalendar Yahudi/Rom diamalkan sebagai hari Sabat) untuk berdoa dan mengkaji
Firman Allah, kadangkala di dalam rumah sembahyang agama Yahudi – KPR 3:1;
13:13-14; 16:13; 17:2. Dalam KPR 2:46 dikatakan orang Kristian bertemu di Bait
Allah (tempat sembahyang penganut agama Yahudi) setiap hari (jelas orang
Kristian tidak hanya mengehadkan diri mereka kepada pertemuan ibadah pada hari
Sabtu sahaja)!
Walaupun begitu, dipercayai orang Kristian mula berkumpul pada hari Ahad
tidak lama setelah Yesus bangkit daripada kematian, sebagai penghormatan dan
peringatan akan kebangkitan Yesus yang berlaku pada hari Ahad, iaitu hari
pertama setiap minggu. Contohnya dalam 1 Korintus 16:1-2, rasul Paulus
menasihati gereja yang berkumpul pada ‘hari pertama dari tiap-tiap minggu’
untuk mengumpul persembahan. Apabila Paulus bertemu dengan orang percaya di
Troas untuk menyembah dan menyambut Jamuan Suci, mereka berkumpul pada ‘hari
pertama dalam minggu itu’ (KPR 20:7).
Ada yang berpendapat pindahan dari hari Sabtu ke Ahad berlaku serta-merta
sesudah tertubuhnya gereja awal, mana kala ada yang melihat perubahan ini
sebagai satu pindahan beransur-ansur dalam sejarah Kristian. Hakikatnya,
pindahan hari perayaan akhirnya berlaku.
Hari ini banyak tradisi Kristian menganggap hari Ahad sebagai hari Sabat
Kristian berdasarkan ayat-ayat seperti Markus 2:27-28 dan Lukas 6:5 di mana
frasa Yesus adalah Tuan Sabat dilihat sebagai pengakuan Yesus berhak menukar
hari di mana Sabat diamalkan. Orang Kristian seperti ini percaya perintah Sabat
merujuk kepada satu hari dalam tujuh hari dan bukan secara spesifik
kepada hari Sabtu dalam kalendar Yahudi/Rom. Dengan memilih hari Ahad sebagai
hari Sabat (hari rehat), secara simbolik orang Kristian menyatakan kepercayaan
mereka dalam Yesus sebagai Tuhan yang hidup dan Mesias dan bahawa berkat-Nya
tidak lagi terhad kepada orang Yahudi sahaja.
Dalam memperhatikan isu ini, soalan sebenar ialah, “Apakah orang Kristian
tertakluk kepada pengamalan ibadah pada satu hari tertentu sahaja?”
Alkitab ada jawapannya: Dalam Roma 14:5-6, dikatakan orang Kristian bebas
memilih dan mengamalkan ibadah kepada Tuhan pada mana-mana hari yang sesuai!
Dalam Kolose 2:16-17 orang Kristian diseru jangan menghakimi atau membenarkan
sesiapa menghakimi mereka berkenaan hari Sabat kerana yang terulung ialah Yesus
dan bukan hari perayaan memuliakan Yesus diadakan. Rasul Paulus khuatir orang Kristian
akan kembali kepada pengamalan agama yang berdasarkan hukum yang mengongkong
dan menyekat, sehingga terciptanya hari-hari suci/istimewa. Pengamalan
hari-hari suci bukan satu ciri kebebasan dalam Yesus yang diberitakan iman
Kristian – Galatia 4:8-10.
Sebagai orang Kristian, kita berpeluang mengasingkan hari tertentu untuk
beribadah kepada Tuhan dan berehat daripada kerja. Ini harus dilakukan kerana
ketaatan dan kasih kita kepada Tuhan, sesuai dengan keadaan diri kita dan
keadaan sekeliling. Ketika saya menjadi gembala di Terengganu, orang Kristian
di sana beribadah pada hari Jumaat kerana hari itu mereka cuti dan bebas berkumpul
untuk menyembah Yesus. Ada orang terpaksa kerja pada hari Ahad dan hanya
mendapat cuti pada hari lain – mereka bebas beribadah kepada Yesus sesuai
dengan hari rehat (Sabat) mereka. Kemerdekaan daripada hukum dan kesedaran
setiap hari suci dan adalah milik Tuhan membebaskan kita untuk bersabat bersama
Tuhan mana-mana hari dalam mana-mana kalendar yang digunakan hari ini!
Saya harap daripada apa yang dikongsi, anda akan sedar Alkitab tidak
menuntut kita beribadah pada hari Sabtu. Sebaliknya kita ada kebebasan untu
menyembah Tuhan pada mana-mana hari yang sesuai (Roma 14:1-2) dan kerana kita
hidup bebas dari Hukum (Roma 6:14), tidak ada orang berhak menentukan hari kita
boleh atau tidak boleh menyembah Allah.
No comments:
Post a Comment