Mereka berkata: 25 Disember bukan hari kelahiran Yesus
tetapi adalah hari penyembahan Tuhan Matahari (ketika) zaman pemerintahan
kerajaan Romawi.
Jawab saya: Rekod
pertama 25 Disember dikatakan ialah hari kelahiran Yesus ialah dalam tulisan
Hyppolytus dari Rom (TM 170-236) dan juga dalam tulisan-tulisan John Chrysostom
dan Cyril dari Yerusalem. Pada kurun kedua SM, seorang ahli sejarah Kristian
Rom bernama Sextus Julius Africanus membuat kiraan dan mencadangkan 25 Disember
sebagai tarikh kelahiran Yesus. Walaupun banyak andaian dibuat oleh Africanus
dalam pengiraannya, tarikh ini diterima ramai.
Akan tetapi tarikh itu diragui.
Tidak ada apa-apa petanda dalam Alkitab tentang
masa Yesus dilahirkan. Berdasarkan maklumat tentang kelahiran Yohanes Pembaptis
(Lukas 1), ada cendekiawan Kristian berpendapat bulan September-Oktober mungkin
masanya Yesus dilahirkan. Biar apa pun, Alkitab tidak menyatakan bila Yesus
dilahirkan dan kerana itu, mana-mana hari pun yang dipilih adalah mungkin.
Memang benar beberapa hari sebelum 25 Disember (di
Rom) ialah perayaan Saturnalia yang ditujukan kepada dewa Rom bernama Saturn
(Tuhan Matahari). Perayaan ini dilangsungkan dengan makan besar, sukacita dan
pemberian hadiah. Ramai percaya 25 Disember dipilih supaya orang Kristian akan
menggantikan perayaan Saturnalia dengan perayaan Krismas. Penggantian perayaan
kuno atau berunsur keagamaan bukan Kristian dengan perayaan Kristian ialah
sesuatu yang sering dilakukan orang Kristian sampai sekarang. Di Sarawak
contohnya, perayaan pemujaan roh padi dan hasil tuaian di antara Orang Ulu
diganti dengan perayaan kebangkitan Yesus (Irau Easter).
Apabila kerajaan Romawi menginstitusikan agama
Kristian sebagai agama rasmi negara pada kurun ke4, gereja Rom menukar perayaan
Saturnalia kepada satu cuti am meraikan kelahiran Yesus dan ini telah
diteruskan sampai hari ini.
Kerana perayaan Krismas mempunyai asal usul dalam
tradisi bukan Kristian (dari aspek tarikh dan cara diraikan), harus orang
Kristian meraikan Krismas? Hakikatnya, Krismas diraikan untuk memperingati
bukan hanya lahirnya Yesus tetapi inkarnasi Allah, satu daripada doktrin
Kristian utama dan satu daripada mukjizat tanpa banding oleh Allah sendiri.
Sama ada perayaan ini dilakukan pada hari yang tiada kaitan dengan mana-mana
perayaan agama lain, atau adalah pada 25 Disember (sebagai pengganti perayaan
Saturnalia pada kurun ke4 di Rom), yang penting ialah apa yang dirayakan dan
cara ia dirayakan – jika sesuai dengan kebenaran Alkitab dan memuliakan Allah,
ia patut diterima dan diteruskan.
Perlu diakui 25 Disember telah dipilih dan
berkurun lamanya telah dipakai sebagai hari untuk memperingati dan mensyukuri
kelahiran Yesus iaitu inkarnasi Allah. Amalan agama Ini sesuai dengan prinsip
yang digariskan oleh rasul Paulus dalam 1 Korintus 10:31 dan tidak harus
diragui. Tahun ini apabila anda menyambut Krismas, ingat, harinya telah
dirampas daripada Iblis dan berabad lamanya, orang Kristian menggunakan hari
itu untuk memperingati dan mengisytiharkan mesej indah – Immanuel, Allah
menyertai kita!
No comments:
Post a Comment