Showing posts with label Kristian. Show all posts
Showing posts with label Kristian. Show all posts

Monday, September 9, 2013

Alkitab Berkata Yesus Allah?

Kata mereka: Di manakah dalam Alkitab menyatakan bahawa Yesus adalah Allah?

Jawap saya: Tidak ada di dalam Alkitab satu ayat pun yang mengandungi frasa ini - 'Yesus adalah Allah' - tetapi kita tidak memerlukan tiga perkataan ini di dalam Alkitab untuk mencapai kesimpulan bahawa Yesus adalah Allah. Sebaliknya ada banyak ayat dalam Alkitab yang menyentuh secara langsung dan secara tidak langsung keilahian Yesus sehingga tidak ada kesimpulan lain yang boleh dibuat kecuali 'Yesus adalah Allah'.

Pertimbangkan mesej di sebalik ayat-ayat ini dan buatlah kesimpulan anda sendiri - apakah ayat-ayat ini megisytiharkan Yesus sebagai Allah atau tidak:

  1. Firman (Yesus) adalah Tuhan (Yohanes 1:1,14)
  2. Dia menyamakan diri-Nya dengan Allah (Yohanes 5:18; 10:30-33; 4:6-7)
  3. Menggunakan nama Allah untuk diri-Nya (Yohanes 8:24 bandingkan dengan Keluaran 3:14)
  4. Dia ada sebelum Abraham ada (Yohanes 8:58)
  5. Apabila Dia dipanggil Tuhan Dia tidak menafikannya atau menolak kenyataan orang (Yohanes 20:28)
  6. Yesus dipersembahkan sebagai Peribadi yang wujud dalam benuk Allah tetapi telah mengambil bentuk manusia (Kolose 2:9, Filipi 2:5-8, 1 Timotius 3:16)
  7. Dia dipanggil Immanuel (Tuhan berserta kita) apabila Dia dilahirkan (Matius 1:23)
  8. Dia dipanggil Allah yang Maha Kuasa (Allah U Akhbar) (Yesaya 9:6)
  9. Dia dikatakan mencipta segala-galanya (Yesaya 44:24, Yohanes 1:3, Kolose 1:16)
  10. Dia dipanggil Tuhan orang Kristian (Titus 2:13)
  11. Dia adalah Permulaan dan Akhir segala-galanya (Wahyu 1:8; 22:13)
  12. Yesus ialah demonstrasi kasih Allah untuk manusia (Roma 5:8)



Thursday, September 5, 2013

Puasa Wajib?

Mereka berkata: Kenapa orang Kristian tidak wajib berpuasa?

Jawap saya: Walaupun orang Kristian tidak wajib berpuasa - ada hari atau bulan tertentu di mana mesti berpuasa - mereka tetap berpuasa dan ia merupakan satu daripada disiplin Kristian yang penting. Puasa Kristian tidak ditetapkan masanya kerana tujuan dan fungsi puasa bagi orang Kristian adalah berbeza daripada banyak agama lain dan dengan itu memerlukan kebebasan dalam pengamalannya. Yang pasti orang Kristian berpuasa.

Yesus berpuasa (Matius 4:2, 8-11) dan dalam ajaran-ajaran-Nya Dia menggunakan frasa 'dan apabila kamu berpuasa' (Matius 6:16) yang menunjukkan bahawa bagi Yesus, puasa adalah dan akan terus menjadi satu amalan murid-muridnya. Dalam Kisah Para Rasul ada dicatat beberapa insiden di mana murid-murid Yesus berpuasa - gereja di Antiokhia (KPR 13:2-3), Paulus dan Barnabas (KPR 14:23, 2 Korintus 6:5; 11:27) - dan sejarah Kristian menunjukkan berpuasa adalah amalan semua orang Kristian yang membawa banyak faedah peribadi dan telah menyongsong masuk banyak perubahan dalam gereja dan negara-negara tertentu.

Orang Kristian berpuasa kerana sebab-sebab tertentu yang tidak terbatas kepada satu hari atau bulan tertentu tetapi berdasarkan situasi sekeliling atau keadaan/keperluan orang Kristian itu. Orang Kristian berpuasa kerana mereka mahu dan mempunyai keperluan/hajat tertentu.

Mereka berpuasa apabila mahu
  • menyediakan diri untuk melayani atau dipimpin Roh Tuhan (Matius 4:4)
  • merendahkan diri di hadapan Tuhan (Daniel 9:3)
  • meminta bantuan Tuhan (2 Samuel 12:16; Ester 4:16; Ezra 8:23)
  • mencari kehendak Tuhan (Acts 13:2-3)
  • bertaubat (Yunus 3:5-10)
  • menyembah Tuhan tanpa gangguan (Lukas 2:36-38)


Jelas daripada sebab-sebab ini, puasa Kristian tidak boleh diwajibkan kerana tujuan puasa seperti yang disebut di atas tidak berlaku pada masa-masa yang telah ditetapkan sahaja.

Yesus juga memberi amaran kepada mereka yang mengamalkan puasa yang wajib (masanya ditetapkan dan mesti ditaati) supaya tidak menjadi bongkak dan berpendapat mereka lebih rohani kerana berjaya mendisiplinkan diri untuk berpuasa pada masa yang ditetapkan. Dalam Matius 6:16-18, Dia menyeru orang berpuasa supaya jangan menunjukkan tanda-tanda luaran (apa lagi dengan sengaja) bahawa mereka berpuasa - berpuasa haruslah sesuatu yang peribadi dan rahsia, antara yang berpuasa dan Tuhannya. Dia juga menegaskan bahawa amalan berpuasa tidak membebaskan seseorang daripada dosa atau menjanjikan jalan masuk ke syurga (Lukas 18:11-14, lihat juga Yesaya 64:6).

Alkitab juga menunjukkan bahawa berpuasa (dengan rujukan khas kepada orang Yahudi yang berpuasa wajib) tidak semestinya menyentuh Tuhan. Bagi Tuhan berpuasa itu hanya bermakna dan berkesan jika dia yang berpuasa mengamalkan gaya hidup seorang pendamai dan tidak memukul atau mencederakan orang lain (Yesaya 58:3-9) dan dalam Yeremia 14:12, Tuhan berkata puasa (yang dilakukan kerana wajib) tidak akan diterima-Nya kerana yang mengamalkan puasa tidak berbalik daripada kejahatan mereka. Zakaria 7:5-6, berpuasa dikatakan tidak berbaloi kerana ketamakan dan kejahatan yang diamalkan oleh mereka yang taat berpuasa pada bulan/hari berpuasa.

Yesus telah mengubah masa dan sebab berpuasa. Apabila Dia ditanya kenapa murid-murid-Nya tidak berpuasa seperti orang Farisi (berpuasa dua kali seminggu dan pada bulan puasa Yahudi) dan murid-murid Yohanes Pembaptis (yang berpuasa untuk pertaubatan dan pengudusan, Matius 9:14), Yesus berkata bahawa sesudah Ia kembali ke syurga, murid-murid-Nya akan berpuasa. Dia kemudian memberi satu perumpamaan tentang kain baru dan wain baru yang tidak boleh disimpan dalam bekas lama, menandakan bahawa puasa murid-murid-Nya akan berbeza daripada puasa-puasa yang diamalkan di Israel sebelumnya (puasa wajib, puasa yang mempunyai sebab-sebab yang berbeza daripada sebab-sebab orang Kristian berpuasa). Lihat Matius 9:14-17.

Yesus telah menetapkan bahawa orang Kristian harus berdoa dan berpuasa (Matius 17:21, Markus 9:29), dan inilah yang dilakukan oleh murid-murid-Nya (1 Korintus 7:5). Walaupun begitu masanya, tempohnya dan jenisnya berpuasa adalah ditentukan oleh si dia yang berpuasa sesuai dengan tujuan dia berpuasa.


Friday, August 30, 2013

Injil Yang Benar?

Mereka berkata: Nabi Muhammad diwahyukan dalam Injil Barnabas sesuai dengan apa yang tertulis dalam Surah 7:157 yang bermaksud '...orang-orang yang mengikuti rasul, nabi yang ummin yang mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil di sisi mereka.’

Jawap saya: Bukti menunjukkan bahawa Injil Barnabas mungkin sekali ditulis oleh seorang yang hidup pada kurun kelima belas di Eropah yang memberi gambaran tidak tepat tentang kehidupan Yesus.

Kepercayaan tentang Yesus berbeza sekali antara orang Kristian dan Islam kerana sumber maklumat mereka berbeza. Orang Islam sering kali menerima ajaran tentang Yesus dari Injil Barnabas manakala orang Kristian berdasarkan fahaman mereka tentang Yesus atas Injil-Injil yang terkandung dalam Alkitab. Oleh sebab Yesus dalam Injil Barnabas berbeza dengan Yesus dalam Injil-Injil Alkitab, pastinya satu salah.

Injil Barnabas tidak ditulis oleh Barnabas yang disebut dalam Alkitab. Barnabas dalam Alkitab ialah seorang dermawan dan pemberi galak gereja awal (KPR 4:36-37) dan bukan satu daripada 12 para  rasul asal Yesus seperti yang dituntut oleh penulis Injil Barnabas. Barnabas dalam Alkitab telah meyakinkan para rasul di Yerusalem bahawa Paulus yang dahulunya menganiaya gereja telah bertaubat dan menjadi pengikut Yesus (KPR 9:27). Barnabas ini ialah seorang misionari, menyebar khabar baik tentang Yesus (KPR 13:2).

Injil Barnabas telah ditulis pada Zaman Pertengahan – kalau ia ditulis pada kurun pertama, ia besar kemungkinan akan disebut atau dijadikan rujukan oleh penulis-penulis lain yang sezaman. Walaupun begitu, Injil ini tidak disebut baik oleh penulis Islam mahupun Kristian sehinggalah pada kurun lima belas. Mereka yang berkata Injil ini ditulis pada kurun pertama mungkin merujuk kepada satu buah buku lain – Surat Barnabas (TM70-90), sebuah buku kurun pertama yang tidak diiktiraf diilhamkan oleh Allah.

Sesiapa yang membaca Injil ini akan sedar bahawa ia tidak ditulis pada masa Yesus atau sejurus setelah itu, seperti yang didakwa penyokong Injil ini. Ia mengandungi terlalu banyak kesilapan sejarah. Injil ini merujuk kepada kata-kata Dante Alighieri, kenyataan yang dibuat oleh Paus Boniface dan satu penjelasan tentang feudalisme. Daripada petanda-petanda ini para cendekiawan meletakkan tarikh penulisan buku ini pada kurun kelima belas.

Injil Barnabas mengandungi banyak kesilapan. Contohnya, penerangan tentang tanah Palestin menunjukkan penulis Injil ini tidak tahu keadaan tempat itu sehingga ada ayat yang berkata Yesus berlayar ke Nazaret, sebuah bandar yang tidak dikelilingi apa-apa bentuk badan air!

Injil ini juga berkata Yesus dilahirkan ketika pemerintahan Pontius Pilatus tetapi sejarah menunjukkan bahawa Pontius Pilatus menjadi gabenor pada TM26 atau 27 – lama sesudah Yesus dilahirkan. Para cendekiawan yang boleh dipercayai telah mendedahkan Injil ini sebagai satu pemalsuan dan tidak boleh dipakai sebagai sumber maklumat boleh percaya tentang Yesus.

Injil Barnabas tidak pernah mendapat sokongan rasuli dan mungkin sekali ditulis 1400 tahun sesudah Barnabas dalam Kisah Para Rasul hidup; ia tidak pernah disebut sehingga kurun keenam belas! Sebaliknya buku-buku dalam Perjanjian Baru semuanya ditulis sebelum TM100 oleh mereka yang telah melihat dan mendengar Yesus atau oleh mereka yang telah menemu bual saksi mata-saksi mata ini (1 Yohanes 1:1-5; Lukas 1:1-4). Kesahihan keempat-empat Injil dalam Perjanjian Baru tidak pernah disoalkan atau diragui.

Dan jika Injil Barnabas ini ditulis pada zaman para rasul, ia masih lagi tidak akan diberi status buku yang diilhamkan Allah kerana banyaknya kesilapan sejarah dan akidah dalamnya. Contohnya, Injil Barnabas menyatakan bahawa Yesus tidak berkata bahawa Dia adalah Mesias (Al-Masih) walaupun dalam Matius 26:63-64 hal ini ada dinyatakan.

Injil ini disukai oleh orang Islam kerana ajarannya tentang Yesus konsisten dengan ajaran dalam Al-Quran. Injil Barnabas berkata Yesus tidak mati di atas kayu salib seperti mana tertulis dalam Surah 4:157. Kerana keempat-empat Injil tidak mengandungi apa-apa ayat yang secara langsung dan jelas merujuk kepada nabi Islam (walaupun dikatakan ada dalam Surah 7:157), tidak hairanlah bila Injil Barnabas dijumpai dan isi kandungannya menyokong pandangan agama Islam, Injil ini diterima dan dipakai sebagai rujukan benar. Mereka yang menolak ajaran Alkitabiah tentang Yesus menerima dengan hati terbuka dan mengangkat Injil Barnabas sebagai khabar baik tentang Yesus yang benar dan boleh-pakai.