Showing posts with label manusia. Show all posts
Showing posts with label manusia. Show all posts

Tuesday, September 3, 2013

Tuhan Berdoa?

Mereka berkata: Kalau benar bahawa Yesus adalah Tuhan, kenapa Dia harus berdoa dan kepada siapa Dia berdoa?

Jawap saya: Untuk memahami Yesus di dunia berdoa (berbicara atau bercakap) kepada Bapa di syurga, kita perlu sedar bahawa Bapa yang kekal dan Yesus (Anak) yang kekal telah pun mempunyai satu perhubungan kekal sebelum Yesus mengenakan darah dan daging dan menjadi manusia. Alkitab berkata Bapa mengirim Yesus (Yohanes 5:19-27 khususnya ayat 23; Yohanes 15:10) dan Yesaya 9:6 menerangkan apa yang berlaku dengan frasa yang menarik ini: Anak diberi dan seorang bayi dilahirkan. Persatuan kekal antara Yesus dan Bapa sentiasa wujud dan ini diakui sendiri Yesus dalam Yohanes 10:30 yang menekankan kesatuan bahan dan intipati – dua peribadi sama-dengan yang wujud sebagai Allah yang Esa. Mereka telah ada dan terus ada perhubungan dan komunikasi yang kekal.

Apabila Yesus mengenakan kemanusiaan tidak berdosa, Dia juga telah mengambil rupa seorang hamba dan mengosongkan diri-Nya daripada kemuliaan syurgawi (Filipi 2:5-11). Sebagai Allah-manusia, doa-Nya kepada Bapa adalah untuk mendapatkan kuasa (Yohanes 11:4-42) dan hikmat (Markus 1:35, 6:46). Dalam sifat kemanusiaan-Nya, Dia menunjukkan kebergantungan penuh-Nya kepada Bapa melalui doa untuk memastikan rencana penyelamatan apa terlaksana (Yohanes 17). Dengan berdoa Dia menunjukkan bahawa Dia tunduk sepenuhnya kepada kehendak Bapa, yang memerlukan-Nya memikul salib dan membayar upah dosa akibat kegagalan kita mentaati hukum Allah (Matius 26:31-46). 

Tidak ada masalah apabila Yesus memilih untuk berhubung (perkataan lain untuk berdoa) dengan Bapa kerana walaupun Yesus menjadi manusia, perhubungan-Nya dengan Bapa (yang sudah pun wujud dan aktif) tidak pernah putus atau berubah. Walaupun dalam bentuk manusia, kehidupan doa Yesus telah membantu Dia hidup dalam kehendak Bapa-Nya.

Keilahian Yesus tidak terjejas atau dikurangkan hanya kerana Dia terus berhubung dengan Bapa apabila menjadi manusia; sebaliknya Dia menunjukkan bahawa walaupun Dia manusia yang bebas dosa, Dia bergantung pada doa untuk kekuatan dan hikmat-Nya. Amalan doa Yesus adalah contoh terbaik penting dan perlunya doa bagi mereka yang sudah mempunyai perhubungan yang baik dan kekal dengan Bapa. Apabila Dia berdoa, Yesus mendemonstrasikan perlunya manusia bergantung atas Allah untuk berjaya dalam hidup, berjaya melakukan kehendak Allah.


Wednesday, August 28, 2013

Tuhan Boleh Dahaga?

Mereka berkata: Adakah Tuhan boleh dahaga, lapar dan tidak tahu bila hari kiamat?

Jawap saya: Saya yakin soalan ini sebenarnya merujuk kepada Yesus (yang orang Kristian tegaskan adalah Tuhan) dan beberapa sifat-Nya yang membuktikan bahawa Dia sepenuhnya manusia – dahaga (Yohanes 19:28), lapar (Matius 4:2) dan tidak tahu hari dan waktu kiamat (Matius 24:36). Orang Kristian bukan hanya tidak menafikannya bahkan bersyukur kerana Yesus adalah seorang manusia tulen. Mengapa?

Orang Kristian percaya bahawa Yesus adalah Allah yang telah menjadi sepenuhnya manusia dan diam bersama dengan ciptaan-Nya untuk seketika supaya Dia boleh mengalami maut, maut di atas salib, untuk menebus manusia, memeterai perjanjian baru antara manusia dan Allah dan menyediakan jalan pengampunan kepada sesiapa sahaja yang percaya kepada-Nya! Ini semua tidak mungkin jika Yesus BUKAN manusia.

Kesatuan hipostatik ialah terma yang pakai untuk menerangkan bagaimana Yesus, mengenakan sifat manusia, tetapi tetap sepenuhnya Tuhan pada masa yang sama. Tidak ada waktu Yesus BUKAN Tuhan (Yohanes 8:58, 10:30), tetapi sewaktu inkarnasi-Nya (terma yang dipakai untuk menerangkan mukjizat Yesus menjadi manusia) Dia menjadi manusia. Kesatuan sifat manusia dan ilahi ini ialah apa yang dipanggil kesatuan hipostatik, Yesus Kristus, satu Peribadi, sepenuhnya Tuhan dan sepenuhnya manusia.

Dua sifat Yesus ini tidak boleh dipisahkan. Yesus akan selama-lamanya bersifat manusia-Ilahi, dua sifat berbeza dalam satu Peribadi. Kedua-dua sifat ini tidak bercampur tetapi bersatu tanpa mengalami kehilangan identiti dan keunikan setiap sifat. Ada masanya Yesus berfungsi dalam kapasiti manusia yang terhad (Yohanes 4:6, 19:28) dan ada masanya dalam kapasiti sebagai Ilahi yang berkuasa (Yohanes 11:43; Matius 14:18-21). Dalam kedua-dua situasi tindakan Yesus berasal dari satu Peribadi, iaitu Yesus.

Doktrin kesatuan hipostatik adalah satu usaha menerangkan bagaimana Yesus boleh pada masa yang sama manusia dan Tuhan. Walaupun usaha ini tidak sempurna dan kefahaman lengkap tidak dapat dialami ramai, kebenarannya ialah bahawa Yesus ialah manusia yang dikandungi dalam Maria kerana aktiviti Roh Allah (Lukas 1:35) tetapi Dia (Yesus) sudah wujud sebelum itu (Yohanes 8:58, 10:30). Apabila Maria mengandung, Yesus menjadi manusia dan juga Allah (Yohanes 1:1,14).

Yesus adalah manusia dan Tuhan. Dia menjadi manusia untuk mengalami dan bersama kita dalam kesusahan yang kita alami (Ibrani 2:17) dan lebih penting lagi, supaya Dia boleh membayar upah dosa di atas salib (Filipi 2:5-11).

Ya, Tuhan pernah lapar, dahaga dan tidak tahu masa depan sesuatu kerana ada seketika dalam sejarah manusia, Tuhan menjadi manusia dan mengalami semua yang manusia alami. Sudah anda kenal Dia?