Mereka berkata: Poligami
dilarang? Kenapa Abraham , Raja Daud , Raja Salomo memiliki 2 hingga
beratus-ratus isteri jika ia dilarang? Tidakkah Kejadian 25:1, kes poligami
yang pertama?
Jawap saya: Poligami
ialah satu sistem perkahwinan yang telah diamalkan dengan berleluasa oleh
pelbagai masyarakat pada zaman Perjanjian Lama termasuklah oleh orang Israel
sendiri. Ini adalah kerana beberapa sebab:
- · Secara amnya selalu ada lebih ramai perempuan daripada lelaki, baik dahulu mahupun sekarang
- · Peperangan zaman dahulu sungguh ganas dan kejam dengan kadar kematian yang tinggi sehingga jumlah lelaki selalunya kurang
- · Dalam dunia masa itu di mana lelaki berkuasa dan diutamakan, adalah hampir mustahil untuk seorang perempuan yang tidak berkahwin untuk menyara hidup - dia tidak terpelajar dan terlatih dan bergantung pada lelaki untuk perbekalan dan perlindungan. Perbezaan besar antara jumlah lelaki dan perempuan menyebabkan ramai perempuan dalam keadaan yang tidak diingini.
Jadi, nampaknya
dalam masyarakat zaman dahulu (termasuk masyarakat Israel) poligami diamalkan
sebagai cara menyediakan perlindungan dan perbekalan kepada wanita; pilihan
sebaliknya ialah pelacuran, perhambaan atau kebuluran (perhatikan 1 Samuel 1:2,
1 Samuel 25).
Berpoligami juga
dianggap sebagai satu cara untuk menambah jumlah manusia di dunia ini dengan
cepat (Kejadian 9:7).
Bagi raja-raja
Israel pula, berpoligami adalah satu cara untuk mengikat perjanjian dan mempererat
perhubungan dengan negara-negara lain yang diwakili oleh isteri-isteri raja Israel
itu. Secara ringkas, poligami adalah satu cara praktikal dan berguna untuk
mengatasi banyak masalah.
Ramai cendekiawan
Kristian berpendapat kebisuan Allah tentang amalan ini dalam Perjanjian Lama
(di mana tidak dikatakan secara spesifik sama ada Allah membenarkan atau
melarang poligami) adalah kerana amalan ini adalah amalan biasa manusia masa
itu dan merupakan jawapan manusia kepada keadaan mereka sehingga sebati dengan
budaya dan amalan harian banyak kaum Timur Tengah. Pilihan manusia yang baik
dihormati Allah walaupun rencana Allah yang terbaik adalah monogami dan
walaupun manusia tidak memilih cara Tuhan, Dia tidak melarang mereka.
Soalan tentang
poligami ini memang menarik kerana pada zaman sekarang poligami dipandang
sebagai satu amalan tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang walaupun
dalam Alkitab tidak ada larangan atau pengecaman khusus tentang amalan ini.
Kali pertama seorang lelaki direkodkan mempunyai lebih satu isteri dalam
Alkitab ialah Lamek (Kejadian 4:19, dua isteri) dan kemudian disusuli dengan
nama-nama beberapa lelaki utama dalam Perjanjian Lama yang mengamalkan
poligami: Abraham, Yakub, Daud dan Salomo. Dalam 2 Samuel 12:8, Allah berkata
Dia akan beri lebih ramai isteri kepada Daud jika yang dia ada sekarang tidak
mencukupi dan mengikut statistik 1 Raja-Raja 11:3, Salomo mempunyai 700 orang
isteri dan 300 orang gundik!
Walaupun
nampaknya poligami dibenarkan dalam Perjanjian Lama, Alkitab pada masa yang
sama menyampaikan monogami sebagai rencana ideal Allah bagi manusia - formula
perkahwinan dalam Kejadian 2:24 merujuk kepada kesatuan satu lelaki dan satu
perempuan. Allah menciptakan Adam dan Hawa untuk bersatu dan menjadi 'satu
daging' (Kejadian 2:24). Hasil perkahwinan adalah kewujudan 'satu daging' dan
perlunya kesatuan dan harmoni - monogami membenarkan ini berlaku dengan lebih
mudah. Kisah Adam dan Hawa pun menunjukkan poligami bukan rencana asal Allah
dan walaupun poligami tidak dihalang, ia bukan ideal Allah.
Dalam Ulangan
17:14-20, Allah juga berkata bahawa raja tidak harus melipatgandakan jumlah
isterinya kerana masalahnya juga akan bertambah (perhatikan apa terjadi kepada
raja Solomo dalam 1 Raja-Raja 11:3-4).
Dalam Perjanjian
Baru, 1 Timotius 3:2, 12 dan Titus 1:6 mengungkapkan frasa "suami satu
isteri" dalam senarai syarat-syarat untuk pemimpin rohani. Walaupun ada
beberapa tafsiran apa dimaksudkan oleh frasa ini, jelas ia tidak boleh merujuk
kepada seorang yang mempunyai ramai isteri dan walaupun syarat ini khas untuk
pemimpin, tidakkah semua lelaki Kristian harus berusaha memiliki semua
ciri-ciri pemimpin rohani yang layak?
Efesus 5:22-33
pula bercakap tentang perhubungan suami isteri. Apabila perkataan suami dan
isteri digunakan dalam petikan ini, ia dalam bentuk tunggal - kesimpulan mudah
ialah perkahwinan merujuk kepada perhubungan antara seorang suami dan isterinya
(bukan isteri-isterinya). Jika poligami dibenarkan, maka ayat terakhir dalam
petikan di Efesus ini - perbandingan perhubungan Yesus dan gereja dan
perhubungan suami isteri - tidak masuk akal. Dan inilah yang mengangkat dan
memuliakan perkahwinan monogami - satu Yesus dan satu Gereja (pengantin Tuhan).
Konsep poligami memusnahkan gambaran ini.
Apa yang dilihat
dalam Alkitab (khususnya Perjanjian Baru) bukannya Allah mengharamkan sesuatu
yang dahulu dibenarkan (poligami) tetapi pemulihan perkahwinan kepada tujuan
asalnya yang murni (kesatuan antara satu lelaki dan satu perempuan, monogami).
No comments:
Post a Comment