Mereka berkata: Nabi Muhammad
diwahyukan dalam Injil Barnabas sesuai dengan apa yang tertulis dalam Surah 7:157 yang bermaksud
'...orang-orang yang mengikuti rasul, nabi yang ummin yang mereka dapati
tertulis di dalam Taurat dan Injil di sisi mereka.’
Jawap saya: Bukti menunjukkan
bahawa Injil Barnabas mungkin sekali ditulis oleh seorang yang hidup pada kurun
kelima belas di Eropah yang memberi gambaran tidak tepat tentang kehidupan
Yesus.
Kepercayaan
tentang Yesus berbeza sekali antara orang Kristian dan Islam kerana sumber
maklumat mereka berbeza. Orang Islam sering kali menerima ajaran tentang Yesus
dari Injil Barnabas manakala orang Kristian berdasarkan fahaman mereka tentang
Yesus atas Injil-Injil yang terkandung dalam Alkitab. Oleh sebab Yesus dalam
Injil Barnabas berbeza dengan Yesus dalam Injil-Injil Alkitab, pastinya satu
salah.
Injil Barnabas
tidak ditulis oleh Barnabas yang disebut dalam Alkitab. Barnabas dalam Alkitab
ialah seorang dermawan dan pemberi galak gereja awal (KPR 4:36-37) dan bukan
satu daripada 12 para rasul asal Yesus
seperti yang dituntut oleh penulis Injil Barnabas. Barnabas dalam Alkitab telah
meyakinkan para rasul di Yerusalem bahawa Paulus yang dahulunya menganiaya
gereja telah bertaubat dan menjadi pengikut Yesus (KPR 9:27). Barnabas ini
ialah seorang misionari, menyebar khabar baik tentang Yesus (KPR 13:2).
Injil Barnabas
telah ditulis pada Zaman Pertengahan – kalau ia ditulis pada kurun pertama, ia
besar kemungkinan akan disebut atau dijadikan rujukan oleh penulis-penulis lain
yang sezaman. Walaupun begitu, Injil ini tidak disebut baik oleh penulis Islam
mahupun Kristian sehinggalah pada kurun lima belas. Mereka yang berkata Injil
ini ditulis pada kurun pertama mungkin merujuk kepada satu buah buku lain –
Surat Barnabas (TM70-90), sebuah buku kurun pertama yang tidak diiktiraf
diilhamkan oleh Allah.
Sesiapa yang
membaca Injil ini akan sedar bahawa ia tidak ditulis pada masa Yesus atau
sejurus setelah itu, seperti yang didakwa penyokong Injil ini. Ia mengandungi
terlalu banyak kesilapan sejarah. Injil ini merujuk kepada kata-kata Dante
Alighieri, kenyataan yang dibuat oleh Paus Boniface dan satu penjelasan tentang
feudalisme. Daripada petanda-petanda ini para cendekiawan meletakkan tarikh
penulisan buku ini pada kurun kelima belas.
Injil Barnabas
mengandungi banyak kesilapan. Contohnya, penerangan tentang tanah Palestin
menunjukkan penulis Injil ini tidak tahu keadaan tempat itu sehingga ada ayat
yang berkata Yesus berlayar ke Nazaret, sebuah bandar yang tidak dikelilingi
apa-apa bentuk badan air!
Injil ini juga
berkata Yesus dilahirkan ketika pemerintahan Pontius Pilatus tetapi sejarah
menunjukkan bahawa Pontius Pilatus menjadi gabenor pada TM26 atau 27 – lama
sesudah Yesus dilahirkan. Para cendekiawan yang boleh dipercayai telah
mendedahkan Injil ini sebagai satu pemalsuan dan tidak boleh dipakai sebagai
sumber maklumat boleh percaya tentang Yesus.
Injil Barnabas
tidak pernah mendapat sokongan rasuli dan mungkin sekali ditulis 1400 tahun
sesudah Barnabas dalam Kisah Para Rasul hidup; ia tidak pernah disebut sehingga
kurun keenam belas! Sebaliknya buku-buku dalam Perjanjian Baru semuanya ditulis
sebelum TM100 oleh mereka yang telah melihat dan mendengar Yesus atau oleh
mereka yang telah menemu bual saksi mata-saksi mata ini (1 Yohanes 1:1-5; Lukas
1:1-4). Kesahihan keempat-empat Injil dalam Perjanjian Baru tidak pernah
disoalkan atau diragui.
Dan jika Injil
Barnabas ini ditulis pada zaman para rasul, ia masih lagi tidak akan diberi
status buku yang diilhamkan Allah kerana banyaknya kesilapan sejarah dan akidah
dalamnya. Contohnya, Injil Barnabas menyatakan bahawa Yesus tidak berkata
bahawa Dia adalah Mesias (Al-Masih) walaupun dalam Matius 26:63-64 hal ini ada
dinyatakan.
Injil ini disukai
oleh orang Islam kerana ajarannya tentang Yesus konsisten dengan ajaran dalam
Al-Quran. Injil Barnabas berkata Yesus tidak mati di atas kayu salib seperti
mana tertulis dalam Surah 4:157. Kerana keempat-empat Injil tidak mengandungi
apa-apa ayat yang secara langsung dan jelas merujuk kepada nabi Islam (walaupun
dikatakan ada dalam Surah 7:157), tidak hairanlah bila Injil Barnabas dijumpai
dan isi kandungannya menyokong pandangan agama Islam, Injil ini diterima dan
dipakai sebagai rujukan benar. Mereka yang menolak ajaran
Alkitabiah tentang Yesus menerima dengan hati terbuka dan mengangkat Injil
Barnabas sebagai khabar baik tentang Yesus yang benar dan boleh-pakai.