Friday, August 30, 2013

Injil Yang Benar?

Mereka berkata: Nabi Muhammad diwahyukan dalam Injil Barnabas sesuai dengan apa yang tertulis dalam Surah 7:157 yang bermaksud '...orang-orang yang mengikuti rasul, nabi yang ummin yang mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil di sisi mereka.’

Jawap saya: Bukti menunjukkan bahawa Injil Barnabas mungkin sekali ditulis oleh seorang yang hidup pada kurun kelima belas di Eropah yang memberi gambaran tidak tepat tentang kehidupan Yesus.

Kepercayaan tentang Yesus berbeza sekali antara orang Kristian dan Islam kerana sumber maklumat mereka berbeza. Orang Islam sering kali menerima ajaran tentang Yesus dari Injil Barnabas manakala orang Kristian berdasarkan fahaman mereka tentang Yesus atas Injil-Injil yang terkandung dalam Alkitab. Oleh sebab Yesus dalam Injil Barnabas berbeza dengan Yesus dalam Injil-Injil Alkitab, pastinya satu salah.

Injil Barnabas tidak ditulis oleh Barnabas yang disebut dalam Alkitab. Barnabas dalam Alkitab ialah seorang dermawan dan pemberi galak gereja awal (KPR 4:36-37) dan bukan satu daripada 12 para  rasul asal Yesus seperti yang dituntut oleh penulis Injil Barnabas. Barnabas dalam Alkitab telah meyakinkan para rasul di Yerusalem bahawa Paulus yang dahulunya menganiaya gereja telah bertaubat dan menjadi pengikut Yesus (KPR 9:27). Barnabas ini ialah seorang misionari, menyebar khabar baik tentang Yesus (KPR 13:2).

Injil Barnabas telah ditulis pada Zaman Pertengahan – kalau ia ditulis pada kurun pertama, ia besar kemungkinan akan disebut atau dijadikan rujukan oleh penulis-penulis lain yang sezaman. Walaupun begitu, Injil ini tidak disebut baik oleh penulis Islam mahupun Kristian sehinggalah pada kurun lima belas. Mereka yang berkata Injil ini ditulis pada kurun pertama mungkin merujuk kepada satu buah buku lain – Surat Barnabas (TM70-90), sebuah buku kurun pertama yang tidak diiktiraf diilhamkan oleh Allah.

Sesiapa yang membaca Injil ini akan sedar bahawa ia tidak ditulis pada masa Yesus atau sejurus setelah itu, seperti yang didakwa penyokong Injil ini. Ia mengandungi terlalu banyak kesilapan sejarah. Injil ini merujuk kepada kata-kata Dante Alighieri, kenyataan yang dibuat oleh Paus Boniface dan satu penjelasan tentang feudalisme. Daripada petanda-petanda ini para cendekiawan meletakkan tarikh penulisan buku ini pada kurun kelima belas.

Injil Barnabas mengandungi banyak kesilapan. Contohnya, penerangan tentang tanah Palestin menunjukkan penulis Injil ini tidak tahu keadaan tempat itu sehingga ada ayat yang berkata Yesus berlayar ke Nazaret, sebuah bandar yang tidak dikelilingi apa-apa bentuk badan air!

Injil ini juga berkata Yesus dilahirkan ketika pemerintahan Pontius Pilatus tetapi sejarah menunjukkan bahawa Pontius Pilatus menjadi gabenor pada TM26 atau 27 – lama sesudah Yesus dilahirkan. Para cendekiawan yang boleh dipercayai telah mendedahkan Injil ini sebagai satu pemalsuan dan tidak boleh dipakai sebagai sumber maklumat boleh percaya tentang Yesus.

Injil Barnabas tidak pernah mendapat sokongan rasuli dan mungkin sekali ditulis 1400 tahun sesudah Barnabas dalam Kisah Para Rasul hidup; ia tidak pernah disebut sehingga kurun keenam belas! Sebaliknya buku-buku dalam Perjanjian Baru semuanya ditulis sebelum TM100 oleh mereka yang telah melihat dan mendengar Yesus atau oleh mereka yang telah menemu bual saksi mata-saksi mata ini (1 Yohanes 1:1-5; Lukas 1:1-4). Kesahihan keempat-empat Injil dalam Perjanjian Baru tidak pernah disoalkan atau diragui.

Dan jika Injil Barnabas ini ditulis pada zaman para rasul, ia masih lagi tidak akan diberi status buku yang diilhamkan Allah kerana banyaknya kesilapan sejarah dan akidah dalamnya. Contohnya, Injil Barnabas menyatakan bahawa Yesus tidak berkata bahawa Dia adalah Mesias (Al-Masih) walaupun dalam Matius 26:63-64 hal ini ada dinyatakan.

Injil ini disukai oleh orang Islam kerana ajarannya tentang Yesus konsisten dengan ajaran dalam Al-Quran. Injil Barnabas berkata Yesus tidak mati di atas kayu salib seperti mana tertulis dalam Surah 4:157. Kerana keempat-empat Injil tidak mengandungi apa-apa ayat yang secara langsung dan jelas merujuk kepada nabi Islam (walaupun dikatakan ada dalam Surah 7:157), tidak hairanlah bila Injil Barnabas dijumpai dan isi kandungannya menyokong pandangan agama Islam, Injil ini diterima dan dipakai sebagai rujukan benar. Mereka yang menolak ajaran Alkitabiah tentang Yesus menerima dengan hati terbuka dan mengangkat Injil Barnabas sebagai khabar baik tentang Yesus yang benar dan boleh-pakai.

No comments:

Post a Comment