Wednesday, August 14, 2013

Kenapa Tidak Sunat?

Mereka berkata: Yesus disunat atau tidak? Paulus juga disunat dan dia seorang Lewi atau Farisi dan tahu kebenaran Hukum Taurat. Tetapi Paulus meniadakan dan menghapuskan hukum sunat yang melambangkan Perjanjian Allah dengan Abraham serta umat-Nya.

Jawap saya: Jawapan ringkas saya ialah kerana orang Kristian ialah mereka yang hidup di bawah Perjanjian Baru (yang dimeterai dengan darah dan kematian Yesus), maka tuntutan Hukum Perjanjian Lama tentang sunat tidak lagi pakai.

Mari saya jelaskan sedikit. Amalan sunat ditetapkan oleh Allah sebagai cara mengasingkan umat pilihan-Nya (umat Israel). Kejadian 17 merekodkan perjanjian Allah dengan Abraham (perhatikan khususnya ayat 10-14). Tidak hairanlah, sunat menjadi satu tanda penting bagi orang Yahudi. Menariknya, peralihan sunat yang bakal berlaku ada disebut dalam Perjanjian Lama sebagai pemberitahuan awal apa Allah akan lakukan (contohnya Ulangan 30:6).

Soal sunat merupakan satu daripada isu paling besar yang dihadapi oleh umat Kristian awal SESUDAH Injil mula diterima oleh mereka yang bukan Yahudi dan orang bukan penganut agama Yahudi. Isu hangat ini berlegar di sekeliling soalan, “Apakah pengikut Injil (Yesus) yang bukan Yahudi perlu mengamalkan hukum-hukum Allah dalam Perjanjian Lama yang diwajibkan kepada orang Yahudi?” Isu ini dibincangkan oleh pemimpin gereja awal di Yerusalem dan akhirnya keputusan dibuat dan dicatat dalam Kisah Para Rasul 15.

Keputusan Majlis Yerusalem ini (yang direkodkan dalam KPR 15) sangat penting– isu sunat ada diperdebatkan dan rasul Petrus akhirnya menyimpulkan penyelamatan adalah hasil karya kasih kurnia Yesus dan bukan kerana tanda sunat. Keputusan Majlis ini diisytiharkan kepada semua gereja melalui sebuah surat yang dalamnya menyatakan syarat-syarat untuk orang percaya bukan Yahudi (KPR 15:28-29) – tuntutan untuk sunat dibatalkan. Rasul Paulus beberapa tahun kemudian mengesahkan dan menerangkan keputusan ini dalam surat-suratnya (1 Korintus 7:17-20; Galatia 2:1-3; 5:1-11; 6:11-16; Kolose 2:8-12; Filipi 3:1-3).

Penjelasan panjang lebar tentang pemansuhan amalan sunat dalam surat-surat Paulus ini diberi kepada gereja-gereja di luar Israel yang banyak dianggotai orang percaya bukan Yahudi. Mereka ini sering diganggu oleh sekumpulan orang Yahudi yang berkepercayaan bahawa pengikut-pengikut Yesus (Injil) mesti disunat dan mesti ikut hukum-hukum Perjanjian Lama. Jadi Paulus bukannya meniadakan atau menghapuskan hukum sunat tetapi memberi penjelasan serta penyataan Allah mengapa sunat tidak lagi diamalkan, sesuai dengan keputusan Majlis Yerusalem.

Penerangan rasul Paulus secara keseluruhan menyatakan bahawa sesudah manusia itu diselamatkan melalui iman dalam Yesus, hidup dalam pertaubatan dan bergantung sepenuhnya atas karya sempurna Yesus di atas salib, hatinya telah disunatkan. Banyak rujukan kepada sunat dalam Perjanjian Baru menyentuh hal menyunat hati (pembuangan sifat lama yang dilakukan oleh Yesus melalui iman kita, contohnya dalam Kolose 2:9-12). Alkitab memberi kebebasan kepada orang percaya bukan Yahudi untuk tidak disunatkan, dan langsung tidak menerima hujah bahawa seseorang itu perlu disunatkan untuk selamat dan disucikan oleh Tuhan (perhatikan ayat-ayat khususnya dalam Galatia 2:1-3; 5:1-11; 6:11-16).

Dalam Perjanjian Baru menyunat hati ialah tuntutan Allah, bukannya menyunat anggota tubuh fizikal. Sekarang tanda perjanjian adalah satu tanda rohani, bukannya tanda fizikal.



No comments:

Post a Comment