Wednesday, August 14, 2013

Poligami Atau Monogami?

Mereka berkata: Poligami dilarang? Kenapa Abraham , Raja Daud , Raja Salomo memiliki 2 hingga beratus-ratus isteri jika ia dilarang? Tidakkah Kejadian 25:1, kes poligami yang pertama?

Jawap saya: Poligami ialah satu sistem perkahwinan yang telah diamalkan dengan berleluasa oleh pelbagai masyarakat pada zaman Perjanjian Lama termasuklah oleh orang Israel sendiri. Ini adalah kerana beberapa sebab:
  • ·         Secara amnya selalu ada lebih ramai perempuan daripada lelaki, baik dahulu mahupun sekarang
  • ·         Peperangan zaman dahulu sungguh ganas dan kejam dengan kadar kematian yang tinggi sehingga jumlah lelaki selalunya kurang
  • ·         Dalam dunia masa itu di mana lelaki berkuasa dan diutamakan, adalah hampir mustahil untuk seorang perempuan yang tidak berkahwin untuk menyara hidup - dia tidak terpelajar dan terlatih dan bergantung pada lelaki untuk perbekalan dan perlindungan. Perbezaan besar antara jumlah lelaki dan perempuan menyebabkan ramai perempuan dalam keadaan yang tidak diingini.

Jadi, nampaknya dalam masyarakat zaman dahulu (termasuk masyarakat Israel) poligami diamalkan sebagai cara menyediakan perlindungan dan perbekalan kepada wanita; pilihan sebaliknya ialah pelacuran, perhambaan atau kebuluran (perhatikan 1 Samuel 1:2, 1 Samuel 25). 

Berpoligami juga dianggap sebagai satu cara untuk menambah jumlah manusia di dunia ini dengan cepat (Kejadian 9:7).

Bagi raja-raja Israel pula, berpoligami adalah satu cara untuk mengikat perjanjian dan mempererat perhubungan dengan negara-negara lain yang diwakili oleh isteri-isteri raja Israel itu. Secara ringkas, poligami adalah satu cara praktikal dan berguna untuk mengatasi banyak masalah.

Ramai cendekiawan Kristian berpendapat kebisuan Allah tentang amalan ini dalam Perjanjian Lama (di mana tidak dikatakan secara spesifik sama ada Allah membenarkan atau melarang poligami) adalah kerana amalan ini adalah amalan biasa manusia masa itu dan merupakan jawapan manusia kepada keadaan mereka sehingga sebati dengan budaya dan amalan harian banyak kaum Timur Tengah. Pilihan manusia yang baik dihormati Allah walaupun rencana Allah yang terbaik adalah monogami dan walaupun manusia tidak memilih cara Tuhan, Dia tidak melarang mereka.

Soalan tentang poligami ini memang menarik kerana pada zaman sekarang poligami dipandang sebagai satu amalan tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang walaupun dalam Alkitab tidak ada larangan atau pengecaman khusus tentang amalan ini. Kali pertama seorang lelaki direkodkan mempunyai lebih satu isteri dalam Alkitab ialah Lamek (Kejadian 4:19, dua isteri) dan kemudian disusuli dengan nama-nama beberapa lelaki utama dalam Perjanjian Lama yang mengamalkan poligami: Abraham, Yakub, Daud dan Salomo. Dalam 2 Samuel 12:8, Allah berkata Dia akan beri lebih ramai isteri kepada Daud jika yang dia ada sekarang tidak mencukupi dan mengikut statistik 1 Raja-Raja 11:3, Salomo mempunyai 700 orang isteri dan 300 orang gundik!

Walaupun nampaknya poligami dibenarkan dalam Perjanjian Lama, Alkitab pada masa yang sama menyampaikan monogami sebagai rencana ideal Allah bagi manusia - formula perkahwinan dalam Kejadian 2:24 merujuk kepada kesatuan satu lelaki dan satu perempuan. Allah menciptakan Adam dan Hawa untuk bersatu dan menjadi 'satu daging' (Kejadian 2:24). Hasil perkahwinan adalah kewujudan 'satu daging' dan perlunya kesatuan dan harmoni - monogami membenarkan ini berlaku dengan lebih mudah. Kisah Adam dan Hawa pun menunjukkan poligami bukan rencana asal Allah dan walaupun poligami tidak dihalang, ia bukan ideal Allah.

Dalam Ulangan 17:14-20, Allah juga berkata bahawa raja tidak harus melipatgandakan jumlah isterinya kerana masalahnya juga akan bertambah (perhatikan apa terjadi kepada raja Solomo dalam 1 Raja-Raja 11:3-4).
Dalam Perjanjian Baru, 1 Timotius 3:2, 12 dan Titus 1:6 mengungkapkan frasa "suami satu isteri" dalam senarai syarat-syarat untuk pemimpin rohani. Walaupun ada beberapa tafsiran apa dimaksudkan oleh frasa ini, jelas ia tidak boleh merujuk kepada seorang yang mempunyai ramai isteri dan walaupun syarat ini khas untuk pemimpin, tidakkah semua lelaki Kristian harus berusaha memiliki semua ciri-ciri pemimpin rohani yang layak?

Efesus 5:22-33 pula bercakap tentang perhubungan suami isteri. Apabila perkataan suami dan isteri digunakan dalam petikan ini, ia dalam bentuk tunggal - kesimpulan mudah ialah perkahwinan merujuk kepada perhubungan antara seorang suami dan isterinya (bukan isteri-isterinya). Jika poligami dibenarkan, maka ayat terakhir dalam petikan di Efesus ini - perbandingan perhubungan Yesus dan gereja dan perhubungan suami isteri - tidak masuk akal. Dan inilah yang mengangkat dan memuliakan perkahwinan monogami - satu Yesus dan satu Gereja (pengantin Tuhan). Konsep poligami memusnahkan gambaran ini.

Apa yang dilihat dalam Alkitab (khususnya Perjanjian Baru) bukannya Allah mengharamkan sesuatu yang dahulu dibenarkan (poligami) tetapi pemulihan perkahwinan kepada tujuan asalnya yang murni (kesatuan antara satu lelaki dan satu perempuan, monogami).


No comments:

Post a Comment