Saturday, August 3, 2013

Dosa Diwarisi?

Mereka berkata: Apakah dosa itu diwarisi? Jika kanak-kanak menikmati kerajaan Allah, maka terbuktilah tiada dosa warisan (Lukas 18:15-17 , Matius 19:13-15, Markus 10:13-16).

Jawab saya: Berlawanan dengan idea manusia dilahirkan neutral tanpa noda dosa, Firman Allah menyatakan bahawa kita dilahirkan dengan sifat dosa yang telah diwarisi daripada ibu bapa kita yang telah mereka warisi daripada generasi-generasi sebelumnya.

Kerana ketidaktaatan Adam dan Hawa (Kejadian 3), dosa telah menjadi warisan semua keturunan mereka. Roma 5:12 berkata bahawa “sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang, dan oleh dosa itu juga maut, demikianlah maut itu telah menjalar kepada semua orang, karena semua orang telah berbuat dosa.” Seperti mana kita mewarisi sifat-sifat lain ibu bapa kita, ketika kita terbentuk dalam rahim ibu kita, kita juga mewarisi sifat dosa mereka: Sesungguhnya, dalam kesalahan aku diperanakkan, dalam dosa aku dikandung ibuku (Mazmur 51:5).

Kerana pewarisan ini, manusia berdosa dalam sifat dan perbuatan mereka. Ramai orang percaya manusia berdosa apabila dia melakukan dosa (perbuatan yang melanggar apa yang berkenan kepada Allah – lihat 1 Yohanes 3:4; Ulangan 9:7; Yosua 1:18) manakala orang Kristian percaya manusia melakukan dosa (perbuatan yang melanggar apa yang berkenan kepada Allah) kerana secara semula jadi mereka adalah makhluk berdosa (memiliki sifat cenderung kepada dosa yang diwarisi daripada Adam). Kita dilahirkan sebagai orang berdosa – kita tidak belajar berdosa tetapi setiap manusia dengan berjaya berdosa dan itu sebabnya semua manusia di dunia berdosa. Kita semua diperanakkan ‘menurut rupa dan gambar’ Adam (Kejadian 5:3) dan ini bermaksud kita mewarisi rupa yang telah dicemari dosa.


Kerana itu Alkitab berkata bahawa semua manusia telah berdosa dan akan dikenakan hukuman – pengasingan selama-lamanya daripada Allah dan Kerajaan-Nya (Roma 3:23, 6:23). Petikan seperti Lukas 18:15-17 (dan kisah yang sama dalam Matius 19:13-15, Markus 10:13-16) tidak berkata bahawa kanak-kanak akan masuk ke dalam Kerajaan Allah. Sebaliknya Yesus menggunakan peluang ini, apabila kanak-kanak datang dengan bebas dan gembira kepada-Nya untuk diberkati, sebagai peluang mengajar kebenaran bahawa sesiapa yang mempunyai iman (datang kepada Yesus dengan bebas dan gembira kerana yakin Dia boleh) seperti yang ditunjukkan oleh kanak-kanak itu sememangnya akan masuk ke dalam kerajaan Tuhan. Sesungguhnya, sesiapa yang mengaku dengan mulutnya, bahawa Yesus adalah Tuhan, dan percaya dalam hatinya, bahawa Allah telah membangkitkan Dia dari antara orang mati, maka dia akan diselamatkan (Roma 10:9).

No comments:

Post a Comment