Tuesday, September 3, 2013

Tuhan Berdoa?

Mereka berkata: Kalau benar bahawa Yesus adalah Tuhan, kenapa Dia harus berdoa dan kepada siapa Dia berdoa?

Jawap saya: Untuk memahami Yesus di dunia berdoa (berbicara atau bercakap) kepada Bapa di syurga, kita perlu sedar bahawa Bapa yang kekal dan Yesus (Anak) yang kekal telah pun mempunyai satu perhubungan kekal sebelum Yesus mengenakan darah dan daging dan menjadi manusia. Alkitab berkata Bapa mengirim Yesus (Yohanes 5:19-27 khususnya ayat 23; Yohanes 15:10) dan Yesaya 9:6 menerangkan apa yang berlaku dengan frasa yang menarik ini: Anak diberi dan seorang bayi dilahirkan. Persatuan kekal antara Yesus dan Bapa sentiasa wujud dan ini diakui sendiri Yesus dalam Yohanes 10:30 yang menekankan kesatuan bahan dan intipati – dua peribadi sama-dengan yang wujud sebagai Allah yang Esa. Mereka telah ada dan terus ada perhubungan dan komunikasi yang kekal.

Apabila Yesus mengenakan kemanusiaan tidak berdosa, Dia juga telah mengambil rupa seorang hamba dan mengosongkan diri-Nya daripada kemuliaan syurgawi (Filipi 2:5-11). Sebagai Allah-manusia, doa-Nya kepada Bapa adalah untuk mendapatkan kuasa (Yohanes 11:4-42) dan hikmat (Markus 1:35, 6:46). Dalam sifat kemanusiaan-Nya, Dia menunjukkan kebergantungan penuh-Nya kepada Bapa melalui doa untuk memastikan rencana penyelamatan apa terlaksana (Yohanes 17). Dengan berdoa Dia menunjukkan bahawa Dia tunduk sepenuhnya kepada kehendak Bapa, yang memerlukan-Nya memikul salib dan membayar upah dosa akibat kegagalan kita mentaati hukum Allah (Matius 26:31-46). 

Tidak ada masalah apabila Yesus memilih untuk berhubung (perkataan lain untuk berdoa) dengan Bapa kerana walaupun Yesus menjadi manusia, perhubungan-Nya dengan Bapa (yang sudah pun wujud dan aktif) tidak pernah putus atau berubah. Walaupun dalam bentuk manusia, kehidupan doa Yesus telah membantu Dia hidup dalam kehendak Bapa-Nya.

Keilahian Yesus tidak terjejas atau dikurangkan hanya kerana Dia terus berhubung dengan Bapa apabila menjadi manusia; sebaliknya Dia menunjukkan bahawa walaupun Dia manusia yang bebas dosa, Dia bergantung pada doa untuk kekuatan dan hikmat-Nya. Amalan doa Yesus adalah contoh terbaik penting dan perlunya doa bagi mereka yang sudah mempunyai perhubungan yang baik dan kekal dengan Bapa. Apabila Dia berdoa, Yesus mendemonstrasikan perlunya manusia bergantung atas Allah untuk berjaya dalam hidup, berjaya melakukan kehendak Allah.


No comments:

Post a Comment