Wednesday, September 25, 2013

Kenapa Makan Babi?

Kata mereka: Mengapa orang Kristian makan daging babi sedangkan itu bertentangan dengan Ulangan 14:8?

Jawap saya: Memakan babi jelas dilarang dalam Perjanjian Lama (Imamat 11:7-8) dan semua orang Israel yang hidup mentaati Hukum Musa sampai hari ini tidak menyentuh apa lagi makan binatang ini. Halangan yang sama ada dalam Surat-ul Baqara 2:173, dan seperti yang diketahui, orang Islam juga tidak makan babi.

Untuk menjawab soalan ini, adalah penting kita memahami sifat Hukum Musa dan tujuan khusus hukum ini untuk umat Israel. Hukum-hukum dalam Perjanjian Lama boleh dibahagikan kepada dua jenis – hukum moral dan hukum sivil.

Hukum moral berkaitan dengan etika hidup dan tujuannya adalah untuk membezakan umat Israel daripada bangsa lain berdasarkan kesucian dalaman mereka dan hormat mereka kepada Allah dan manusia. Hukum-hukum moral Perjanjian Lama bertujuan mempertingkatkan standard kesucian dan menjadi model kepada semua manusia generasi. Hukum Sepuluh adalah contoh hukum moral dan telah dipakai sebagai penentu untuk setiap tanggungjawab manusia kepada Allah dan manusia yang tidak diubah oleh perubahan zaman atau budaya. Hukum-hukum seperti ini tidak mengalami perubahan.

Lain pula ceritanya dengan hukum sivil yang berkaitan dengan undang-undang dan peraturan-peraturan berkaitan kehidupan seharian yang dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan budaya bangsa-bangsa tidak taat kepada Allah. Undang-undang sivil menyentuh hal-hal seperti kebersihan, pemakanan, pakaian dan amalan-amalan keagamaan. Tujuan hukum-hukum ini ialah untuk membezakan bangsa Israel daripada bangsa lain berdasarkan kesucian luaran mereka. Orang Israel dituntut Tuhan supaya tidak mengamalkan amalan-amalan dan kepercayaan tahyul orang tidak percaya Allah yang ada di sekeliling mereka.

Satu daripada undang-undang sivil ialah hukum yang melarang memakan daging babi. Adalah amalan biasa kaum-kaum tidak percaya Tuhan pada masa itu untuk mengorbankan babi kepada tuhan-tuhan mereka. Juga babi pada masa itu adalah satu ekor binatang yang kotor yang makan bahan buangan dan bangkai. Kerana itu banyak penyakit disebarkan melalui amalan memakan daging babi.

Umat Israel diseru mengasingkan diri mereka daripada amalan tidak suci orang tidak kenal Tuhan ini dan kekotoran yang berkaitan dengan babi. Ini adalah kerana umat Israel dipanggil Allah untuk menjadi bangsa contoh yang suci, berbeza dan taat kepada Allah. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Perjanjian Lama dan Al Quran (Surat-us Sad (38):45-46, Surat-ul Baqara (2):47).

Sedihnya, pada zaman Yesus, umat Israel telah lupa tujuan asal hukum sivil. Sekarang hukum sivil dipandang sebagai amalan-amalan yang menentukan kesucian dalaman seseorang (contohnya, mereka yang tidak cuci tangan sebelum sembahyang dianggap kotor dalam hadirat Tuhan) dan bukan itu sahaja, pemimpin-pemimpin agama pada masa itu telah memperkenalkan banyak lagi syarat-syarat dan tuntutan yang dikatakan adalah pengukur kesucian yang benar.

Akibatnya ramai orang terikat kepada pengamalan ritual-ritual agama yang ‘mati’ dengan keangkuhan dan kemunafikan. Orang alim kini ialah mereka yang selalu berdoa, mencuci tangan dan hanya makan makanan yang dibenarkan walaupun hati mereka penuh dengan kebencian dan hawa nafsu!

Yesus nampak ini dan mengambil tindakan yang perlu – Dia mengisytiharkan semua makanan suci dan menekankan kesucian dalaman (hati). Perubahan ini juga diiktiraf dalam Al Quran - Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu (Surat-u Ali Imran (3):50).

Dalam Markus 7:18-23, Yesus dengan jelas menegaskan bahawa yang menajiskan manusia ialah apa yang ada dalam hatinya dan apa yang dilakukan/diluahkannya dan bukan apa yang masuk ke dalam perutnya. Ayat ini sahaja menunjukkan bahawa Yesus mengisytiharkan semua makanan sebagai ‘halal’.

Adalah menarik bahawa untuk menyediakan rasul Petrus untuk menginjil mereka yang bukan Yahudi, Allah memerintah Petrus memakan binatang-binatang yang dianggap ‘kotor’ dalam Hukum Musa dalam sebuah visi. Sebagai seorang Yahudi yang salih, Petrus melawan perintah Allah dan adalah penting untuk kita perhatikan jawapan Allah dalam KPR 10:15 –  "Apa yang dinyatakan halal oleh Allah, tidak boleh engkau nyatakan haram." Walaupun ayat ini merujuk secara spesifik kepada usaha Allah menyediakan Petrus (dan gereja berbangsa Yahudi pada masa itu) untuk menerima orang bukan Yahudi dan menginjil mereka (lihat ayat 28), ia secara tidak langsung juga meniadakan pengharaman makanan tertentu kerana sesiapa yang makan makanan haram dianggap orang yang ‘kotor’. Dalam insiden ini, mereka yang ‘kotor’ kerana memakan makanan ‘kotor’ sekarang dikatakan Tuhan boleh didampingi dan diterima (kerana undang-undang makanan haram dan halal tidak pakai dan berkesan).

Dalam KPR 15, para rasul di bawah pimpinan Roh Kudus membebaskan semua orang Kristian bukan Yahudi daripada hukum-hukum pemakanan Yahudi (kecuali tidak boleh makan darah dan binatang yang dicekik, lihat ayat  28-29) dan dalam 1 Korintus Paulus berkata semua makanan boleh diterima selagi ia tidak mengganggu hati nurani sensitif saudara seiman yang lemah.

Kolose 2:13-17 pula menekankan bahawa semua ketentuan-ketentuan hukum Musa telah dihapuskan oleh Yesus dengan memakukannya pada kayu salib (ayat 14) dan kerana itu kita (orang Kristian) tidak patut membiarkan orang menghukum kita mengenai makanan ia hanyalah bayangan dari apa yang harus datang. Secara ringkas, apabila Yesus dipakukan di atas kayu salib, semua hukum-hukum sivil mengenai makanan telah dihapuskan.

Selanjutnya, menuntut supaya orang Kristian tidak makan makanan tertentu (perkataan daging dipakai secara khusus di sini) dikatakan adalah satu amalan pendusta-pendusta pada akhir zaman yang dikuasai roh-roh penyesat dan ajaran mereka dipanggil ajaran setan-setan (1 Timotius 4:1-3). Sebaliknya orang Kristian dinasihati menerima dan memakan semua jenis makanan dengan ucapan syukur kerana ‘semua yang diciptakan Allah itu baik (termasuk babi) dan suatu pun tidak ada yang haram, jika diterima dengan ucapan syukur, sebab semuanya itu dikuduskan oleh firman Allah dan oleh doa’ (1 Timotius 4:4-5).

Buku Ibrani pula berkata bahawa Hukum Musa sudah lapuk dan telah digantikan dengan satu Perjanjian Baru – “Dengan mengemukakan suatu perjanjian yang baru, Allah membuat perjanjian yang pertama itu menjadi tua dan usang; dan apa yang sudah tua, akan segera pula lenyap.” Ini juga ditekankan oleh rasul Paulus dalam Galatia 4:21-31 di mana kita diberitahu Hukum Lama telah dibuang dan diganti dengan Hukum Baru Kristus. Oleh itu semua peraturan-peraturan tentang makanan halal dan haram (dan banyak lagi perkara seperti pengorbanan binatang, hukum-hukum cucian dan hari-hari raya tertentu) telah disingkirkan.

Hari ini hanya hukum-hukum dari Hukum Lama yang diteruskan dalam Perjanjian Baru masih diamalkan dan laku pakai bagi orang Kristian (contohnya larangan membunuh dan mencuri) kerana apabila Yesus mati Hukum Baru Kristus mula pakai (Ibrani 9:16-22). Pada akhir zaman, manusia akan dihakimi berdasarkan Hukum Baru Yesus (Yohanes 12:48) ini.


1 comment:

  1. Coba cari di Alkitab kalau ada istilah makanan haram.

    Kalau hukum moral masih betlaku. Hari apakah hari perbaktian yang diperintahkan Hukum keempat?

    ReplyDelete