Thursday, July 25, 2013

Hari Krismas Hari Perayaan Tuhan Matahari!

Mereka berkata: 25 Disember bukan hari kelahiran Yesus tetapi adalah hari penyembahan Tuhan Matahari (ketika) zaman pemerintahan kerajaan Romawi.

Jawab saya: Rekod pertama 25 Disember dikatakan ialah hari kelahiran Yesus ialah dalam tulisan Hyppolytus dari Rom (TM 170-236) dan juga dalam tulisan-tulisan John Chrysostom dan Cyril dari Yerusalem. Pada kurun kedua SM, seorang ahli sejarah Kristian Rom bernama Sextus Julius Africanus membuat kiraan dan mencadangkan 25 Disember sebagai tarikh kelahiran Yesus. Walaupun banyak andaian dibuat oleh Africanus dalam pengiraannya, tarikh ini diterima ramai.

Akan tetapi tarikh itu diragui.

Tidak ada apa-apa petanda dalam Alkitab tentang masa Yesus dilahirkan. Berdasarkan maklumat tentang kelahiran Yohanes Pembaptis (Lukas 1), ada cendekiawan Kristian berpendapat bulan September-Oktober mungkin masanya Yesus dilahirkan. Biar apa pun, Alkitab tidak menyatakan bila Yesus dilahirkan dan kerana itu, mana-mana hari pun yang dipilih adalah mungkin.

Memang benar beberapa hari sebelum 25 Disember (di Rom) ialah perayaan Saturnalia yang ditujukan kepada dewa Rom bernama Saturn (Tuhan Matahari). Perayaan ini dilangsungkan dengan makan besar, sukacita dan pemberian hadiah. Ramai percaya 25 Disember dipilih supaya orang Kristian akan menggantikan perayaan Saturnalia dengan perayaan Krismas. Penggantian perayaan kuno atau berunsur keagamaan bukan Kristian dengan perayaan Kristian ialah sesuatu yang sering dilakukan orang Kristian sampai sekarang. Di Sarawak contohnya, perayaan pemujaan roh padi dan hasil tuaian di antara Orang Ulu diganti dengan perayaan kebangkitan Yesus (Irau Easter).

Apabila kerajaan Romawi menginstitusikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara pada kurun ke4, gereja Rom menukar perayaan Saturnalia kepada satu cuti am meraikan kelahiran Yesus dan ini telah diteruskan sampai hari ini.

Kerana perayaan Krismas mempunyai asal usul dalam tradisi bukan Kristian (dari aspek tarikh dan cara diraikan), harus orang Kristian meraikan Krismas? Hakikatnya, Krismas diraikan untuk memperingati bukan hanya lahirnya Yesus tetapi inkarnasi Allah, satu daripada doktrin Kristian utama dan satu daripada mukjizat tanpa banding oleh Allah sendiri. Sama ada perayaan ini dilakukan pada hari yang tiada kaitan dengan mana-mana perayaan agama lain, atau adalah pada 25 Disember (sebagai pengganti perayaan Saturnalia pada kurun ke4 di Rom), yang penting ialah apa yang dirayakan dan cara ia dirayakan – jika sesuai dengan kebenaran Alkitab dan memuliakan Allah, ia patut diterima dan diteruskan.

Perlu diakui 25 Disember telah dipilih dan berkurun lamanya telah dipakai sebagai hari untuk memperingati dan mensyukuri kelahiran Yesus iaitu inkarnasi Allah. Amalan agama Ini sesuai dengan prinsip yang digariskan oleh rasul Paulus dalam 1 Korintus 10:31 dan tidak harus diragui. Tahun ini apabila anda menyambut Krismas, ingat, harinya telah dirampas daripada Iblis dan berabad lamanya, orang Kristian menggunakan hari itu untuk memperingati dan mengisytiharkan mesej indah – Immanuel, Allah menyertai kita!


No comments:

Post a Comment